dikemaskini Pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman.
    
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menarik perhatian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memaklumkan kepada DAP semalam bahawa ia sedang mengkaji pendaftaran parti itu berikutan pertikaian di kalangan anggotanya.
    
Sementara menanti penyelesaian pertikaian berkenaan, kenyataan itu menyebut Pendaftar Pertubuhan tidak memberi pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan DAP yang dibentuk semasa pemilihan parti itu pada 15 Dis 2012, mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966.
    
"Bagaimanapun, pendaftaran DAP tidak terbatal dan ia masih boleh menggunakan simbolnya semasa PRU13," kata Abdul Rahman. 

Beliau turut berkata siasatan berhubung pemilihan parti itu akan diteruskan.

Kemelut yang berlaku dalam DAP itu timbul selepas ramai anggotanya dilapor mempersoal ketelusan dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berikutan wujud perubahan mendadak dalam keputusan pemilihan kononnya disebabkan kesilapan pengiraan, selain dakwaan kenapa lebih 700 perwakilan dinafikan hak
mengundi.
Dalam satu sidang akhbar di ibunegara, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa telah menerima surat ROS bertarikh 17 April, menyatakan ROS tidak memberi pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan CEC parti DAP.
Berdasarkan keputusan ROS itu, parti tidak berkuasa mengeluarkan surat watikah pelantikan kepada mana-mana calon parti menggunakan simbol parti iaitu roket pada PRU13, katanya.
Sehubungan itu, Lim berkata DAP bercadang menggunakan simbol PAS di Semenanjung dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dan Sarawak pada PRU13.
Lim sebelum itu mengadakan mesyuarat bersama Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, yang menurut pemimpin DAP itu mendapat persetujuan pemimpin parti masing-masing berhubung penggunaan simbol PAS dan PKR.
Beliau turut berkata sepucuk surat yang diterima semalam menyatakan ROS telah bersetuju menangguhkan penyiasatan berhubung pemilihan jawatan CEC.
Dalam surat itu, kata Lim, ROS telah bersetuju bahawa penyiasatan tersebut yang sepatutnya dijalankan hari ini, ditangguh ke 9 Mei.

    
Bernama