Tolong Klik kat iklan Nuffnang Tanda sokongan anda

visit me

Click Here To Show Yr Support

Berita Panas Je !!!!!!!

03 August, 2011

Rahsia Atuk Saya Yang Nenek Saya Rahsiakan Dari Saya

Nenek sakit. Nenek tua sangat. Tapi nenek tetap ingat atuk. Atuk pergi tiga tahun dahulu. Atuk tinggalkan nenek waktu nenek pergi surau mengaji kitab. Nenek tak sempat balik lagi tapi atuk dah pergi. Pergi terus. Nenek marah sangat.
Pertama, atuk pergi tak tutup pintu tak tutup tingkap. Basah di dapur sebab tingkap ternganga luas. Basah di dapur juga sebab pintu ternganga perahung. Atap rumah juga bocor-bocor tapi atuk tak pernah usaha nak baikinya. Atuk tak larat. Itu yang atuk cakap bila nenek mahu bebel.

Kedua, atuk pergi begitu saja. Kerbau lembu di baruh ditambat betul-betul tepi paya. Hujan lebat. Air naik cepat. Air naik paras tebing. Lembu atuk dua ekor, kerbau tiga, semua lima. Belum kira kambing dan biri-biri yang atuk tak hambat balik ke kandang. Semua kuyup basah dek hujan tapi atuk biarkan. Atuk pergi begitu sahaja. Lembu, kerbau, kambing dan biri-biri semuanya tak menyempat dia hambat balik sebelum malam gelap.

Ketiga, atuk pergi tak tinggal apa-apa. Kecuali rumah dua tingkat ini, atuk pergi tanpa mewasiat apa-apa. Atuk nikahi nenek baru tiga tahun. Tiga tahun itu, nenek jadi bini mudanya tapi harta-harta atuk, semua serah pada anak menantu bini tua yang dah arwah. Atuk bukan kejam, kalau itu orang kampung pandang. Atuk tak sempat cari harta sebenarnya untuk nenek, dan nenek pun faham. Atuk dianiayai cucu-cucu, anak menantunya. Habis harta pindah nama sebab atuk tak reti baca tak reti mengira. Ekar jadi inci, lot jadi jengkal. Sudahnya, semua berpindah milik kekal. Nama anak, menantu dan cucu-cucunya jadi ganti.

Keempat, atuk pergi tanpa sempat peluk cium dan dakap nenek macam selalu petang-petang. Atuk tak pernah malu. Kalau atuk rasa mahu cumbu mahu mesra mahu manja-manja, atuk cari saja nenek sampai jumpa. Peduli apa kata atuk, bukan ada orang kisah. Selera atuk selera tua. Selera nenek pun juga. Mereka pengantin baru yang mahu berbulan madu selama mampu. Tapi hari itu, atuk tinggal nenek pergi macam itu saja. Atuk tak ingat nenekkah? Nenek cuma mampu bertanya tanpa ada jawapan lagi. Atuk tak tahukah, di surau tadi nenek geram tak habis-habis terbayangkan perut montel atuk yang gebu dan penuh bau masam itu? Nenek geram mahu peluk atuk kerana nenek dahulu tak pernah rasa bahagia. Atuk suami kedua nenek, sama macam nenek, isteri kedua atuk. Dahulu atuk dan nenek tak pernah bahagia bersama-sama isteri dan suami pertama mereka.

Siapa atuk sebenarnya? Hanya nenek yang tahu. Saya cuma anak angkat mereka berdua. Sebetulnya, saya anak pungutan nenek. Saya jumpa nenek, maafkan saya, nenek jumpa saya pada waktu saya sedang merengek menggigil menangis meraung kelaparan, kata nenek. Nenek jumpa saya tepi longkang berselimutkan surat khabar lama. Diari saya tak indah macam cucu-cucu atuk yang lain, macam cucu-cucu nenek yang lain. Tapi saya lain. Saya bukan cucu tapi anak mereka. Terima kasih nenek. Terima kasih atuk.

Sudahlah. Saya tak mahu ceritakan siapa saya. Saya mahu ceritakan siapa atuk pada nenek. Dahulu atuk pemuda gagah. Atuk pugar hutan dan rimba sampai jadi sawah. Saya tergelak bila nenek beritahu begitu dahulu. Mana boleh ada sawah di hutan dan di rimba, kata saya. Nenek pula yang tergelak. Kata nenek, saya lurus tapi cerdik. Di rimba, orang tanam padi huma. Atuk pun tanam tapi padi atuk luas. Tanaman atuk terlalu luas, kata nenek, sampaikan orang kampung kata atuk mahu bersawah di lereng bukit. Atuk rajin.

Atuk juga pandai berkawan dengan binatang. Semua lembu, kerbau dan kambing di kampung kami atuk kenal. Binatang-binatang itu semuanya pun mesra dengan atuk. Saya lagi tergelak, bila nenek beritahu begitu dahulu. Nenek tanya saya kenapa gelak, saya jawab, mana ada orang berkawan dengan binatang. Nenek pula tergelak. Nenek cakap, saya dungu tapi pintar. Atuk boleh faham apa bicara binatang, sebab itu atuk bela banyak lembu, kerbau dan kambing. Kata nenek lagi, dahulu atuk boleh panggil lembu, kerbau dan kambing orang kampung yang hilang di hutan atau di rimba sampai pulang. Orang kampung selalu bagi hadiah pada atuk lembu, kerbau dan kambing sebab atuk boleh jinakkan binatang-binatang itu juga. Tapi atuk tak bela banyak pun, kata nenek. Atuk pawahkan. Macam tanah-tanahnya itu, banyak yang dipajakkan bila atuk dah tak larat lagi.

Tapi kata nenek, atuk simpan banyak dendam. Atuk pendam banyak kisah silam. Saya tak tahu apa maksud nenek kerana waktu itu, saya belum baligh, kata nenek, tak faham masalah orang dewasa. Nenek tak banyak cerita tentang atuk bila atuk pulang ke rumah. Nenek cuma akan buka mulut banyak-banyak dan cerita itu ini tentang atuk bila atuk tak ada. Kata nenek, saya kena tunggu disunatkan, kemudian rasa basah bila tidur malam baru saya boleh diceritakan tentang apa dendam atuk simpankan.

Jadi saya kena tunggu lagi empat tahun kerana sekarang saya baru sembilan tahun. Nenek kata, umur saya tiga belas, baru tok mudim akan datang rumah, lepas itu baru saya akan mimpi basah. Di sekolah, saya belajar, mumayyis itu baligh, dan baligh itu bila tiga belas hingga lima belas tahun yang lelaki. Saya tak sabar nak disunatkan dan mimpi basah sebab saya mahu tahu apa dendam dan rahsia atuk simpan.

Jadi kalau anda nak tahu, tunggulah lagi empat tahun. Nanti saya kongsikan ya.

3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...