Tolong Klik kat iklan Nuffnang Tanda sokongan anda

visit me

Click Here To Show Yr Support

Berita Panas Je !!!!!!!

18 June, 2012

PROJEK LADANG SEJAHTERA DI GUNUNG INAS - Jawab balas pembohongan Utusan



 

KENYATAAN BALAS BERHUBUNG PEMBOHONGAN AKHBAR UTUSAN BERTARIKH 11 JUN 2012 DAN PEMBOHONGAN BULETIN UTAMA TV3 PADA 11 JUN 2012 BERKAITAN PROJEK LADANG SEJAHTERA DI GUNUNG INAS, DAERAH BALING, KEDAH

• Akhbar Utusan bertarikh 11 Jun 2012 telah menyiarkan satu laporan khas bertajuk “Pas Kedah rakus teroka balak, tarah bukit”. Laporan tersebut menyebut kegiatan balak yang tidak terkawal di Gunung Inas, Daerah Baling di bawah pengurusan Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) telah menyebabkan kemusnahan sistem ekologi dan menjejaskan kehidupan lebih 2,000 penduduk di sekitarnya. Buletin Utama TV3 melaporkan perkara yang sama dan turut membangkitkan isu kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) bagi projek tersebut.

• Perlu difahami bahawa cadangan membangunkan Ladang Hutan di kawasan hutan di Gunung Inas, Daerah Baling telah dibuat sejak zaman pemerintahan Kerajaan Negeri BN iaitu sekitar tahun 2006 – 2007 tetapi cadangan projek tersebut mensasarkan objektif dan kaedah yang berbeza yang lebih menjurus kepada keuntungan anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat-syarikat yang terlibat semata-mata.

• Kerajaan Negeri pada hari ini menyambung cadangan pembangunan di kawasan yang sama tetapi dengan konsep, objektif dan kaedah perlaksanaan yang berbeza yang lebih menguntungkan rakyat Kedah di luar bandar. Projek Ladang Sejahtera yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri dengan konsep menebang hutan kayu secara berperingkat dan kawasan tertentu yang telah ditebang akan terus ditanam dengan getah yang turut berfungsi sebagai tanaman tutup bumi. Kerajaan Negeri meletakkan objektif jangka panjang untuk membantu masyarakat luar bandar serta golongan dhu’afaa’ dengan mensasarkan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat tempatan bagi melakukan kerja-kerja perlaksanaan Projek Ladang Sejahtera tersebut termasuk kerja-kerja menanam, membaja, menoreh getah dan kerja-kerja lain yang berkaitan. Selain itu, hasil keuntungan bersih daripada Projek Ladang Sejahtera tersebut akan diserah balik oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat melalui pemberian dividen atau saguhati kepada golongan yang layak.

• Keuntungan jangka panjang ini sangat jelas apabila hasil getah dan kayu getah adalah lebih besar mengjangkau 3 kali ganda berbanding dengan hasil balak semata-mata. Rakyat luar bandar akan menikmati pendapatan apabila mereka sendiri boleh bekerja di bawah projek tersebut. Sebagai contoh kerja-kerja menoreh bagi kawasan getah seluas 3 hektar memerlukan 2 orang penoreh. Jika ladang getah yang diusahakan secara berperingkat-peringkat itu boleh mencapai keluasan 5000 hektar, maka ia memerlukan lebih kurang 3000 orang penoreh yang terdiri daripada masyarakat luar bandar. Sudah tentu masyarakat setempat boleh merebut peluang pekerjaan ini.

• Malah bagi memantapkan perlaksanaan Projek Ladang Sejahtera serta menunjukkan kesungguhan dan ketelusan Kerajaan Negeri, YAB Menteri Besar telah menubuhkan Tabung Amanah Ladang Rakyat melalui arahan di bawah Seksyen 9(3) Akta Acara Kewangan, 1957 dan ia telah berkuatkuasa sejak 1 Oktober 2011. Tabung Amanah tersebut diwujudkan untuk menguruskan hasil pendapatan dan perbelanjaan bagi pengurusan, pentadbiran dan pembangunan Projek Ladang Sejahtera. Perbelanjaan tersebut termasuk jumlah pemberian saguhati kepada rakyat luar bandar di daerah Baling, Pendang, Padang Terap, Bandar Baharu, Langkawi dan Sik yang telah dilaksanakan pada tahun ini. Siri majlis penyerahan saguhati tersebut bagi tahun ini diakhiri dengan daerah Sik pada 7 Jun 2012 lepas melibatkan seramai 503 penerima daripada pelbagai kaum. Jumlah keseluruhan penerima saguhati adalah sebanyak 1,144 orang dari 6 daerah tersebut yang dipilih melalui e-sinar kendalian UPEN dan rekomendasi daripada Pejabat Daerah sendiri. Akaun Tabung Amanah tersebut dikendalikan mengikut arahan-arahan dan prosedur kewangan yang digunapakai dari semasa ke semasa tertakluk di bawah Akta Acara Kewangan, 1957 dan segala perbelanjaan atau pengeluaran daripada akaun Tabung Amanah tersebut hanya boleh dibuat dengan kelulusan bertulis daripada YAB Menteri Besar.

• Tambahan dari itu, Kerajaan Negeri melalui PMBKed menetapkan beberapa dasar perlaksanaan projek Ladang Sejahtera. Antaranya, pembangunan ladang getah akan dilakukan secara berperingkat bagi mengawal kestabilan ekosistem dan selepas balak atau kayu hutan ditebang, kerja-kerja penanaman getah akan dilakukan segera bagi mengelakkan hakisan dan pencerobohan. Kerja-kerja hutan tersebut adalah di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Negeri.

• Berhubung kawasan di Gunung Inas, Daerah Baling, PMBKed telah membangunkan sejumlah 400 hektar kawasan hutan di Kompartmen 8, Gunung Inas, Daerah Baling seperti yang diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Kerja-kerja pembalakan dilakukan di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Negeri yang bertanggungjawab memastikan syarat-syarat penebangan dipatuhi. PMBKed melalui anak syarikatnya, Kedah Agro pula hanya berperanan untuk membangunkan dan mengawal kerja-kerja menanam getah di kawasan yang telah ditebang. Namun, PMBKed menegaskan bahawa segala kerja-kerja penebangan dan penanaman tersebut dibuat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri.

• Selain kawasan di Kompartmen 8, hanya kawasan di Kompartmen 9 yang diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri kepada Kedah Agro. Bagi kawasan-kawasan di Kompartmen 1 hingga 10 kecuali 8 dan 9, Jabatan Perhutanan Negeri memberikan tender kerja-kerja penebangan hutan kepada syarikat-syarikat lain dan bertanggungjawab mengawal aktiviti mereka. PMBKed pula akan secara berperingkat membangunkan ladang getah di Kompartmen 4 hingga 10 mengikut dasarnya dan syarat-syarat yang dikenakan.

• Kawasan-kawasan yang diluluskan kepada PMBKed dan Kedah Agro serta syarikat-syarikat lain oleh Jabatan Perhutanan Negeri tidak melebihi keluasan 500 hektar dan kerja-kerja pembangunan pula dilakukan secara berperingkat. Justeru, isu ketiadaan kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) tidak timbul kerana keluasan yang diluluskan kurang daripada 500 hektar. Ia selari dengan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan, 1985) dan Seksyen 1(a) dan 6(c) Environmental Quality (Prescribed Activities) (Environmental Impact Assessment) Order 1987.

• PMBKed yakin segala kerja-kerja telah dilakukan mengikut syarat-syarat yang dikawal oleh Jabatan Perhutanan Negeri seperti yang ditegaskan oleh YAB Menteri Besar dalam sidang akhbar pada 10 Jun 2012 di Sik. Perubahan yang berlaku kepada air sungai di sekitar kawasan itu disebabkan musim hujan yang berpanjangan dan tidak boleh dijadikan ukuran bahawa kerja-kerja penebangan dan pembangunan dilakukan dengan rakus serta melanggar syarat-syarat yang ditetapkan.

• Laporan media tersebut dibuat hanya untuk memainkan isu menjelang pilihanraya umum bagi kepentingan pembangkang untuk menjatuhkan usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat untuk jangka masa panjang. Padahal Kerajaan Negeri BN dahulu juga bercadang untuk membangunkan kawasan hutan yang sama tetapi dengan kaedah yang berkemungkinan akan menyebabkan kesan yang lebih buruk dan tidak menjamin keuntungan dan manfaat terus kepada rakyat untuk jangka masa panjang.

• Rakyat perlu menyedari bahawa sejak Kerajaan Negeri PAS mengambil alih pentadbiran negeri, Kerajaan Negeri berjaya meningkatkan hasil pendapatan daripada sumber balak hampir 10 kali ganda sedangkan kuota kawasan balak adalah sama seperti yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri BN dahulu. Bagi tahun 2011, lebih kurang RM80 juta hasil keuntungan diperolehi Kerajaan Negeri. Sepatutnya dari dahulu lagi pendapatan dari hasil balak di kawasan tersebut mampu mencatatkan hasil keuntungan seperti hari ini tetapi hasil yang diperolehi ketika itu tidak sampai kepada 'Kerajaan Negeri' ketika itu. Sebagai contoh, kontraktor pada hari ini membayar lebih kurang RM12,000 sehektar kepada Kerajaan Negeri tetapi semasa pemerintahan Kerajaan Negeri BN, kontraktor hanya membayar RM1000 sehektar tetapi ribuan ringgit selebihnya dibayar kepada pihak-pihak lain. Jika tidak ada penyelewengan berlaku, kontraktor yang terlibat akan membayar jumlah yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi setiap hektar kawasan yang diusahakan sekaligus akan mencatat jumlah hasil keuntungan yang tinggi seperti hari ini. Rakyat tentu memahami bahawa hanya ketelusan dan kecekapan Kerajaan Negeri yang akan mengelakkan hal itu berlaku. Oleh itu, rakyat diseru untuk memahami isu ini dan kemudian boleh menentukan siapakah yang perlu dipertahankan.

Disediakan oleh
MOHD LUKMAN BIN HAJI MAT ISA
Eksekutif Perundangan PMBKed

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...