Tanpa kawan tentu tiada sesiapa akan mengkhianati sebab sememangnya pengkhianatan datangnya dari kawan. Orang yang akan mengkhianati kita bukanlah musuh kita tetapi kawan kita sendiri. Musuh apabila mereka melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap kita, itu namanya strategi berapi tetapi kawan apabila mereka iri dan dengki mereka akan mengkhianati.
Sebab itulah pendirian pun dibentuk tidak mahu berkasih, tidak mahu berkawan, seterusnya tidak mahu beristeri ataupun bersuami. Tanpa perhubungan-perhubungan seperti ini tiada kesakitan akan dirasai.
Kebahagiaan boleh dibina sendiri. Tidak perlu bergantung pada orang lain untuk mencarinya. Kalau sepanjang kanak-kanak dan remaja, hidup boleh dilalui dengan selesanya, mengapa hendak menyusahkan diri dengan perhubungan hati? Hujungnya disakiti, akhirnya dikhianati.
Memang betul, yang akan menyakiti kita adalah orang yang hampir dengan kita. Orang itu adalah seseorang yang kita kenal. Orang yang kita tidak kenal sememangnya tidak akan campur tangan dalam hidup kita, justeru mereka tidak akan meletakkan sebarang saham dalam mengharu-birukan hidup kita. dengan kita inilah, kadang-kadang datangnya peribadi yang tak terperi lalu memberikan kita kesakitan yang tidak terperi juga sakitnya.
‘Andainya aku tidak bertemu dia, tentu aku tidak kenal kesedihan hari ini. Andainya dia tidak pernah ku kenali tentu tidak terasa sepi hidupku ini. Bukankah indah hidup menyendiri dan tersendiri, susah senang aturan diri, tanpa kawan, kekasih mahupun suami atau isteri, hidup lebih selesa dilalui.’
Kebahagiaan sejati Meletakkan harapan untuk bahagia pada orang lain kadang-kadang tidak berkesudahan seperti apa yang diimpi-impikan. Kekasih yang dipuja bertahuntahun lamanya suatu hari memohon diri, ‘aku pergi dulu, cukuplah perkenalan kita setakat di sini.’
Suami yang dihormati rupa-rupanya curang, ‘bukan abang tak sayang, tapi jodoh kita setakat di sini.’ Isteri yang disangka jujur tahu-tahu meminta cerai kerana katanya sudah terlanjur dengan lelaki lain dan tidak suci lagi, ‘lepaskan sajalah, saya terasa berdosa pada abang.’ Ini semua sangat menyedihkan. Selepas itu hidup terpaksa dilalui dalam episod yang sangat menyeksa. Jiwa terasa parah, hati terlalu sakit, mental menjadi biul, fizikal menjadi tidak menentu, spritual menjadi terbelah.
Untuk apa semua ini? Bukankah semuanya itu tidak berlaku jika kita bersendiri, hidup menyepi, hidup menyendiri. Tidak akan ada sesiapa akan menyakiti kita. Susah senang kita tempuh sendiri. Kalau ada pekerjaan yang stabil, sihat serta sibuk dengan pelbagai aktiviti, hidup pasti terpenuh dan bermakna sekali.
Tidak perlu bergantung pada orang lain untuk mengecap bahagia. Kecintaan terhadap alam dan kehidupan sudah cukup indah, memang tidak ternafikan. Hidup dalam belaian kasih sayang Allah adalah hakikat kebahagiaan sejati. Sejak manusia bertemanlah pelbagai kesalahan tercipta.
Sememangnya kebahagiaan, semangat setia kawan, rasa cinta untuk mencintai dan dicintai itu ada, tetapi ia tidak pernah singgah, maka pendirian sebegini adalah sempadan memujuk hati. Memang berjuta orang membina bahagia setelah bertemu seseorang dalam hidup mereka, tetapi andainya seseorang itu tidak pernah datang dalam hidup pendirian begini adalah penguat motivasi. Syabas anda yang teguh kukuh meskipun hidup sesungguhnya bagaikan dilayat oleh karatnya besi
No comments:
Post a Comment