HATYAI (THAILAND): Seorang lelaki rakyat Malaysia kini dirawat di sebuah hospital di sini selepas cedera parah akibat ditikam di dada dan belakang badannya oleh seorang lelaki dipercayai penduduk tempatan di Danok, dekat sini, awal pagi Ahad lalu, dipercayai angkara cemburu.
Difahamkan, perkenalan mangsa dengan seorang gadis berusia 20-an menimbulkan rasa cemburu kepada suspek yang mendakwa dirinya sebagai teman lelaki wanita berkenaan.
Akibatnya, mangsa dikenali sebagai Mohd Kamal Pram Abdul Ghulam Hazrat, 30, ditikam dua kali selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam.
Mangsa dikatakan sudah menjalani satu pembedahan dan masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Nagarind, Hatyai (HNH).
Ibu mangsa berusia 64 tahun yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia berjumpa anak kedua daripada tiga beradik itu kira-kira setahun lalu selepas Mohd Kamal pulang menziarahi anak kepada adik perempuannya di Selayang, Selangor.
Menurutnya, Mohd Kamal selalu menghubunginya dari Kulim dan difahamkan bekerja sebagai tukang masak sejak berhijrah ke sini kira-kira lapan tahun lalu.
Katanya, dia hanya mendapat tahu kejadian yang menimpa anaknya itu selepas diberitahu isteri kepada rakan anaknya kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.
“Saya terkejut dengan berita yang diterima kerana selama ini anak saya tidak pernah menimbulkan masalah sama ada di rumah atau di Malaysia
“Malah, teman wanitanya juga tidak tahu mengenai kejadian menimpa anak saya dan hanya menyedarinya selepas Mohd Kamal tidak pulang ke rumah yang disewanya di sini (Danok),” katanya, semalam.
Menurutnya, sejurus menerima berita berkenaan, dia terus bergegas bersama suami serta adiknya ke hospital berkenaan untuk mengetahui kejadian sebenar.
Katanya, dia mahu membawa pulang anaknya ke negara ini bagi memudahkan urusan tetapi berdepan kesempitan wang kerana tidak bekerja, manakala suaminya berusia 70 tahun hanya pemandu teksi.
“Kami sudah dua hari berada di sini sejak semalam (kelmarin) dan mengalami masalah kewangan bagi membayar bil hospital yang dianggarkan berjumlah RM35,970.
“Lebih menyedihkan, pihak pengurusan hospital memberitahu tiada laporan polis dibuat mengenai kejadian itu, dan memaksa kami kembali semula ke Danok esok (hari ini) bagi membuat aduan polis bersama wakil Konsulat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Konsul Besar Malaysia di Songhkla, Mohd Aini Atan berkata, pihaknya sudah dimaklumkan pihak hospital mengenai kejadian berkenaan dan sedang menunggu laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa kini dirawat di ICU HNH dan dimaklumkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment