KUALA LUMPUR: “Wanita berkenaan berfikiran singkat kerana cuba mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang tanpa memikirkan kesan jangka panjang yang akan berlaku pada dirinya sehinggakan sanggup menggunakan nama suaminya untuk menipu.
“Matlamat perkahwinannya salah sekiranya tujuan wanita itu berkahwin semata-mata menggunakan nama suaminya bagi memperoleh kekayaan melalui jalan mudah dengan menipu individu lain,” kata pakar motivasi, Profesor Izzudin Ali. Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang wanita berstatus Datin yang memperalatkan nama suaminya untuk menipu lima mangsa membabitkan kerugian RM250,000.
Kelicikan wanita itu yang memperkenalkan dirinya penerbit drama terbongkar apabila suaminya yang mahu dikenali sebagai Datuk Faizal mengetahui penipuan yang dilakukannya selepas terbaca SMS dihantar beberapa mangsa ke telefon bimbit miliknya.
Tidak tahan dengan kegiatan haram isterinya itu, dia membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, pada Ogos lalu.
Menurut Izzudin, tindakan wanita itu seolah-olah ingin meruntuhkan rumah tangganya serta mendedahkan suaminya kepada bahaya kerana menipu individu lain menggunakan nama suaminya.
Katanya, sebagai isteri nama baik suami perlu dijaga supaya hubungan perkahwinan yang dibina itu kekal sehingga ke akhir hayat dan jalan di pilih wanita itu pasti akan membawa kebinasaan pada diri sendiri
“Sekarang suaminya itu perlu memainkan peranan sama ada untuk kembali mendidik wanita itu ke jalan kebenaran atau pun berpisah. Tugas suami bukan sekadar memberikan nafkah, tetapi sebagai pendidik isteri ke arah kebenaran,” katanya
No comments:
Post a Comment