SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan diberi amaran keras oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana dikatakan mengeluarkan komen memburukkan pihak pembelaan dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ketika perbicaraan masih berlangsung.
Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, ahli politik bebas itu sepatutnya mengetahui bahawa sesiapa pun tidak dibenar mengeluarkan sebarang komen terhadap prosiding yang sedang berjalan kerana tindakan itu dianggap subjudis.
Menurutnya, komen yang kemudian disiarkan menerusi satu artikel dalam Utusan Malaysia itu bukan saja tidak tepat, malah ahli Parlimen itu sendiri tidak pernah menghadiri sebarang prosiding kes itu.
“Saya tidak memanggil kamu bagi pihak peguam Manjeet Singh Dhillon. Apa yang saya bimbangkan adalah kamu mengeluarkan pendapat dan dimanipulasikan untuk tujuan politik.
“Biar saya beritahu kamu, hakim di Malaysia adalah lebih bebas daripada apa kamu sangka.
“Kami bukan bodoh...hanya duduk saja dan membiarkan timbalan pendakwa raya dan peguam membuat sesuka hati mereka
“Semuanya berlandaskan undang-undang. Saya tidak berniat untuk mengambil tindakan terhadap kamu hari ini (semalam). Saya percaya terhadap peluang kedua.
“Saya beri kamu amaran. Ini adalah amaran terakhir,” katanya.
Gobalakrishnan bagaimanapun mendakwa tidak ingat apa yang diberitahu kepada wartawan Utusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar yang menulis artikel berkenaan. Mendengar jawapan itu, Akhtar membidas Gobalakrishnan itu dengan menyatakan mahkamah sudah memanggil Raja Syahrir dan berpuas hati bahawa ahli Parlimen itu adalah individu yang mengeluarkan komen itu.
“Jika kamu benar-benar anak jantan, kamu akan meminta maaf.
“Jangan ulangi perbuatan ini. Saya tidak mahu bazirkan masa. Kamu boleh pergi,” katanya.
Gobalakrishnan diperintahkan hadir pada prosiding semalam untuk memberi penjelasan berhubung komennya dalam artikel bertajuk ‘Manjeet selalu burukkan kerajaan’ dalam Utusan Malaysia pada 17 Ogos lalu. Antara lain, Gobalakrishnan dalam artikel itu dilaporkan memberikan komen berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap pihak pendakwaan kes pembunuhan itu.
Pada 26 Ogos lalu, Akhtar turut memberi amaran kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Aziz Ishak dan Raja Syahrir supaya tidak menyiarkan komen mengenai kes yang sedang berjalan di mahkamah.
Kedua-duanya turut diperintahkan hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan penyiaran artikel bersifat politik dan memburukkan Manjeet disiarkan akhbar berkenaan.
Sementara itu, Manjeet memfailkan saman fitnah menuntut RM2.5 juta berhubung penyiaran artikel itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan lalu.
No comments:
Post a Comment