Tolong Klik kat iklan Nuffnang Tanda sokongan anda

visit me

Click Here To Show Yr Support

Berita Panas Je !!!!!!!

05 August, 2011

Gadis ada pakej takut bercinta


SAYA gadis berusia 23 tahun dan bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Saya pernah melalui zaman keindahan di alam percintaan, tetapi tidak berkekalan.
Entah kenapa saya rasa kecewa dengan percintaan. Ramai kawan-kawan menganggap saya mempunyai pakej yang cukup untuk mengejar cinta.

Tetapi pada saya itu semua hanya ‘bonus’ yang Allah anugerahkan.

Saya berasa takut untuk jatuh cinta kerana sering dikecewa dan dipermainkan.
Namun apabila perasaan itu datang semula saya menafikannya seolah-olah menyeksa diri dan perasaan daripada menerima cinta kembali.

Adakah saya sudah hilang perasaan itu untuk selamanya atau datang apabila saya sudah menemui cinta sebenar?

Saya berasa takut sangat untuk bercinta semula. Tetapi pada pandangan mata orang, saya hidup dalam kegembiraan dan tersenyum riang.

Hakikatnya senyuman saya hanya palsu untuk menyembunyikan perasaan sedih itu.

Syukur kerana saya tidak melakukan sesuatu yang di luar kewarasan dan membuat keputusan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Bantulah saya untuk membina semula semangat kerana benar-benar rasa terasing dengan diri dan perasaan sendiri.

KECEWA
Selangor




DR memahami perasaan takut adik untuk jatuh cinta lagi. Adik dilukai dan sering rasa kecewa serta dipermainkan cinta yang terselit pendustaan.

Ibarat kehidupan yang bercampur gaul dengan penghinaan. Cinta kurniaan Ilahi mengapa mesti dibenci? Apa yang harus dibenci serta dihindari adalah kepalsuan cinta. Itu adalah jawapan kepada adik sama ada hilang perasaan cinta untuk selamanya.

Adik boleh membina semula semangat dalam percintaan supaya diri dan perasaan tidak terpenjara serta terasing. Cerita sedih cinta adik adalah kenangan masa lalu. Kini adik perlu mencari satu dimensi kehidupan baru. Membezakan antara masa sekarang dan masa lalu amat penting.

Keadaan itu dapat memberi adik peluang dan ruang untuk bergerak ke hadapan, tidak hidup dalam dunia semalam.

Orang yang bijaksana tidak sesekali duduk merapati kegagalannya, tetapi dengan lapang hati mencari jalan untuk memulihkan kembali kerugian dialami.

Maafkan individu yang pernah menghancurkan hati adik. Ia boleh membuatkan adik bangkit semula daripada kekecewaan. Mulakan kehidupan dengan harapan dan usaha adik bertemu lelaki berhati mulia.

Belajar untuk membuka diri dan runtuhkan dinding ketakutan bercinta. Perasaan takut disebabkan adik membina dinding untuk jatuh cinta lagi.

Manusia merasa kesepian dari cinta kerana mereka hanya membangunkan dinding bukannya jambatan kasih sayang. Bercinta adalah satu risiko. Ambil risiko dan jangan takut untuk jatuh cinta lagi. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai. Itu adalah keistimewaan kehidupan.

Apabila adik membina hubungan emosi dengan seseorang, berterusan membuka hati dan berkongsi pendapat serta perasaan.

Lebih baik jika adik dan siapa pun insan bertuah itu dapat berkongsi cerita berkaitan matlamat, nilai diri serta keutamaan dalam kehidupan. Cuba elakkan persengketaan.

Bina kepercayaan kerana antara syarat utama dalam setiap perhubungan yang berjaya. Peluang untuk ditipu sememangnya ada, tetapi ia berkurangan jika adik mempercayai dan menghargai diri sendiri. Ini bermakna adik mempercayai diri untuk membuat penghakiman terbaik.

Bersifat jujur dan optimistik dalam perhubungan. Dr percaya, dengan pakej adik selain daripada ‘bonus’, ia banyak membantu dalam mencari jejaka ikhlas dalam perhubungan.

Bentuk keyakinan diri. Ketakutan adik untuk ditolak dan keperluan diterima timbul kerana adik kekurangan keyakinan dan merasa rendah diri.

Percayalah bahawa adik adalah insan yang bernilai dan berhak untuk menyayangi serta disayangi.

Gantikan ungkapan dan pemikiran negatif dengan kenyataan positif diri. Bina imej mental diri sebagai seorang yang berkeyakinan, bersifat asertif dan berdikari. Penting juga untuk bertingkah laku atas keyakinan diri ini.

Dr melihat kekuatan diri adik apabila tidak melakukan sesuatu yang di luar kewarasan dan membuat keputusan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di IPTA. Imam Ghazali menjelaskan ‘menuntut ilmu adalah takwa, menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulangi-ulang ilmu adalah zikir dan mencari ilmu adalah jihad.’

Seterusnya, adik ingin mengetahui sama ada perasaan cinta itu datang apabila adik sudah menemui cinta
sebenar. Cinta itu apabila kamu bertemu dan membuat pilihan yang tepat. Apabila percintaan adik tidak berkekalan, mungkin Tuhan menginginkan adik bertemu dan bercinta dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat. Adik harus mengerti dan berterima kasih atas kurniaan itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...