IPOH: “Saya mengucap panjang melihat kaki manusia terjulur dari gulungan selimut ‘toto’ ditinggalkan di atas tangga bertentangan pintu rumah,” kata Azlina Abu Talib, 33.
Azlina jiran kepada Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dicekik di kediamannya di tingkat satu Pangsapuri Permai Lake View di Tambun, dekat sini, awal pagi semalam.
Azlina berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 pagi semalam, selepas kecoh di luar rumahnya di tingkat bawah ketika bangun untuk bersahur.
“Saya terkejut mendengar bunyi bising dari arah tangga bertentangan pintu rumah saya dan keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Saya seperti tidak percaya apabila diberitahu pengawal keselamatan di pangsapuri terdapat mayat di atas lantai tangga menuju ke tingkat bawah, betul-betul di hadapan kediaman saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurutnya, dia memberanikan diri naik ke tangga untuk melihat balutan tilam didakwa mengandungi mayat wanita itu dan terkejut apabila mendapati kaki manusia terjulur dari dalam tilam itu.
“Saya diberitahu pengawal keselamatan bertugas ternampak kelibat dua lelaki mengusung balutan tilam berkenaan ketika melakukan rondaan.
“Namun, suspek mencampak tilam itu ke lantai tangga sebaik menyedari kehadiran pengawal berkenaan. Dua lelaki itu melarikan diri melalui tingkap rumah berhampiran yang tidak berjeriji sebelum menuju ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui seorang lelaki menetap di pangsapuri itu ditahan sejurus polis dimaklumkan kejadian itu. Azlina berkata, dia baru mengenali mangsa yang berpindah ke pangsapuri ini awal bulan lalu dan tidak sangka kejadian ngeri itu menimpanya.
Dia berharap polis memberkas segera penjenayah itu bagi mengelakkan penduduk dihantui ketakutan.
No comments:
Post a Comment