Tolong Klik kat iklan Nuffnang Tanda sokongan anda

visit me

Click Here To Show Yr Support

Berita Panas Je !!!!!!!

11 May, 2012

BERSIH 3.0 - Satu Komentar


Oleh NIK ABDUL AZIZ NIK HASSAN

TAHNIAH kepada Penganjur BERSIH 3.0 kerana berjaya mengadakan suatu demonstrasi raksasa terdiri daripada pelbagai kaum, di tengah-tengah kota Kuala Lumpur, pada 28 April 2012. Demonstrasi ini adalah suatu manifestasi kemarahan rakyat pelbagai kaum terhadap kerajaan Barisan Nasional kini. Kemarahan ini bukan sahaja berpunca daripada persoalan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malah juga ekoran daripada banyak faktor-faktor lain yang sudah pun diketahui umum. Kemarahan rakyat bertambah-tambah lagi apabila media massa kerajaan BN mempermainkan isu liwat, seks dan videonya sekali dan isu SGVT yang kebenarannya ditolak oleh rakyat pada umumnya.

Sedangkan sebaliknya rakyat umum banyak pula mendengar cerita-cerita sumbang pemimpin-pemimpin BN berhubung dengan soal  seks.

Sesungguhnya fenomena isu liwat dan seks yang dikumandangkan oleh media massa BN dalam dekad penghujung abad ke-20 dan awal abad ke-21 adalah suatu fenomena yang paling memalukan dalam sejarah politik dan sosial negara yang mencerminkan  kerendahan mutu dan nilai politik negara.

Selepas kejayaan Bersih 3.0 mengadakan perhimpunan raksasa, maka moral dan imej politik Pakatan Rakyat bertambah meningkat dalam cuaca politik negara. Di bawah senario politik demikian, pihak BN cuba mengalihkan pandangan rakyat kepada persoalan keganasan dan huru-hara Bersih 3.0 yang di dakwa dicetuskan oleh penunjuk-penunjuk perasaan termasuk pemimpin-pemimpin PKR. Lebih keterlaluan lagi apabila pemimpin-pemimpin BN mendakwa pemimpin Perhimpunan Bersih 3.0 merancang ke arah menggulingkan kerajaan.

Kini pihak kerajaan berusaha kearah mengheret sebilangan penunjuk-penunjuk perasaan Bersih 3.0 ke mahkamah. Persoalannya, berasaskan kepada latar belakang peristiwa Demonstrasi Bersih 3.0 ini, pada jiwa dan hakikat maknanya, siapa sebenarnya yang mula-mula mencetuskan keganasan? Apakah ia berpunca daripada pihak kerajaan BN melalui PDRM dan sekatan Dato Bandar KL ataupun pihak rakyat. Apakah rakyat tidak berhak berdemostrasi secara aman di Dataran Merdeka? Yang nyata Dataran Merdeka adalah hak rakyat dan negara. Adalah tidak menjadi kesalahan jiwa dan moral untuk rakyat berhimpun secara aman demi untuk menyatakan isi hati bersama kepada kerajaan di Dataran Merdeka. Lebih-lebih lagi apabila rakyat mempersoalkan tentang kejujuran SPR dalam mengendalikan pilihan raya. Alasan Datuk Bandar KL bahawa hanya hal-hal yang menyentuh  'national event' sahaja yang boleh di adakan di Dataran Merdeka adalah suatu rasional yang lemah untuk memperbodohkan  pemikiran rakyat. Apakah perhimpunan raksasa rakyat secara aman dengan misi dan visi yang mulia berhubung dengan pindaan lapan perkara Peraturan  dan Akta Pilihan Raya yang boleh memberi impak besar kepada masa depan politik ekonomi dan sosial negara tidak layak diadakan di Dataran Merdeka.

Nampaknya sekatan kerajaan BN itu adalah suatu provokasi permulaan kepada hak rakyat. Kenyataan Menteri Dalam Negeri selepas peristiwa demonstrasi  itu, bahawa kerajaan akan menubuhkan suatu panel bebas untuk menentukan secara adil siapa sebenarnya mencetuskan keganasan dan huru-hara hanyalah sebagai  'face saving' kepada imej kerajaan apabila melihat reputasi kerajaan BN terjejas teruk di kaca mata dunia. Terutama di kalangan pejuang-pejuang hak asasi manusia.

Kalaulah dilihat “on the ground” semasa demonstrasi itu berlaku nampak peristiwa keganasan itu wujud selepas polis melepaskan pancuran air busuk dan tembakan gas pemedih mata kepada orang ramai. Apa yang dapat dilihat orang ramai yang datang berpusu-pusu  lelaki dan perempuan, tua dan muda dan kanak-kanak tidak membawa apa-apa senjata selain daripada semangat supaya SPR melakukan keadilan dalam mengendalikan pilihan raya nanti, memakai baju kuning dan membawa sebotol air minuman mineral. Apakah dengan semangat dan kelengkapan yang begini boleh memberi suatu ancaman keselamatan kepada negara? Apa yang nyata perhimpunan raksasa rakyat melalui Bersih 3.0 secara implikasinya menjejaskan imej politik BN dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

Atas faktor di atas inilah maka kerajaan BN mengatur strategi dengan memulakan langkah provokasi dengan membuat sekatan bagi menghalang penunjuk-penunjuk perasan menggunakan Dataran Merdeka.  Dengan langkah provokasi sekatan ini pihak polis mempunyai ruang untuk bertindak apabila wujud penunjuk perasaan tertentu merempuh masuk Dataran Merdeka. Senario demikian memberi kesempatan kepada pihak polis untuk bertindak ganas demi mewujudkan suasana psikologi takut kepada orang ramai supaya bersurai dan pulang ke rumah. Akan tetapi menariknya pula strategi untuk mewujudkan psikologi takut telah tidak memberi kesan kepada ramai penunjuk-penunjuk perasaan, apabila ramai pula dikalangan mereka yang “counter” dengan melawan keganasan polis melalui tubuh badan mereka dan botol minuman air mineral.

Sikap keberanian orang ramai demikian wujud justeru timbul daripada rasa marah yang amat sangat atas keganasan polis (dengan memakai kelengkapan yang cukup), membimbangkan pihak kerajaan BN. Kebanyakan slot video yang diulang tayang dalam televisyen kerajaan adalah slot-slot secara serpihan yang ditunjukkan dengan tujuan untuk membuktikan keganasan penunjuk-penunjuk perasaan. Sebaliknya pula kalau kita ditayangkan dengan slot-slot secara keseluruhannya kita akan dapati gambaran yang sebaliknya.

Nyata moral dan reputasi kerajaan BN. Kini terus menurun lebih-lebih lagi apabila demonstrasi Bersih 3.0 mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat pelbagai kaum. Bagi pemimpin-pemimpin BN mereka mesti mempertahankan kuasa dengan apa cara demi terus berkuasa dan demi untuk mengelakkan daripada terbongkar kesemua kekotoran yang berlaku dalam pemerintahan BN selama ini.

Konsep Ketuanan Melayu dan hak Melayu terus dikumandangkan kepada orang-orang Melayu demi untuk membangkitkan sentimen melulu terutama melalui Perkasa dan badan-badan NGO tertentu (lebih-lebih lagi apabila mereka menyedari sebahagian besar penduduk Cina terutama di bandar berpihak kepada Pakatan Rakyat).

Sedangkan sebaliknya sejarah telah menunjukkan dikalangan pemimpin Parti Umnolah yang sebenarnya telah menyerahkan bulat-bulat Bumi Melayu (Pulau Temasik=Singapura) kepada kuasa politik orang-orang bukan Melayu.
Fakta-fakta kini juga telah menunjukkan ramai pemimpin-pemimpin Umno di peringkat nasional, negeri dan bahagian yang hidup begitu mewah di tengah-tengah kesusahan dan kesengsaraan ramai orang Melayu. Nampak apa yang mereka laung dan pekik itu tidak sama dengan apa yang mereka bikin selama ini.

Memang tidak dapat dinafikan penting konsep ketuanan Melayu dipertahankan. Akan tetapi umum tidak boleh menafikan juga bahwa ketuanan Melayu itu hendaklah ketuanan yang berintegriti dan bermoral sejajar dengan jiwa al-Quran dan Al-Sunnah.  Melihat kepada realiti jiwa al-Quran yang dilaksanakan dalam zaman keagungan Islam (Dalam zaman Rasulullah S.A.W dan para Sahabat) menampakan kepada kita bahawa perlaksanaannya didokong oleh personaliti-personaliti yang sebenar-benar mendokong 'worldview' al-Quran dan menghayatinya dengan sungguh-sungguh. Mereka ini benar-benar takut kepada Allah s.w.t. dan sentiasa menghitung hari-hari pembalasan nanti dan tidak sekali-kali boleh dijual beli dengan gaji dan kedudukan dunia.

Mereka sentiasa merasa bertanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran mesej al-Quran kepada masyarakat. Walaupun terpaksa menempuh kesusahan demi kesusahan dalam kehidupan.  Di atas personaliti-personaliti demikianlah pengajaran al-Quran dapat bertapak di bumi ini. Juga di atas personaliti-personaliti demikianlah al-Quran mampu di terjemahkan sebagai formula kepada kehidupan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Madinah dahulu. Sesungguhnya di atas jiwa dan personaliti-personaliti tadilah baru pengajaran al-Quran boleh di laksanakan demi mewujudkan keadilan, kebenaran dan kasih sayang di muka bumi ini. Sebaliknya pula kalaulah kita hanya menggunakan Islam untuk kepentingan kedudukan kita, maka ia akan membawa natijah kepada wujudnya pencemaran ajaran agama itu sendiri.

Bertolak daripada kenyataan-kenyataan di atas penulis merasa sedih apabila masih ada di kalangan ulama-ulama kini masih belum (atau buat) tidak faham tentang senario keseluruhan politik, ekonomi dan sosial negara. Melihat kepada falsafah Demonstrasi Bersih 3.0 yang bertujuan untuk mewujudkan kebenaran dan keadilan pilihan raya demi masa depan negara, agama dan bangsa maka pendirian Datuk Nik Aziz Nik Mat Mursyidul Am Pas hendaklah disokong oleh kita semua terutama dikalangan keseluruhan ulama-ulama Malaysia.

Mengikut sebuah kitab ‘Hujatullah ul Bahghah’ karangan Shah Waliullah al Dihlawi diri Rasulullah s.a.w.  dan para Nabi sebelumnya tidak mampu dihalang atau di hijab oleh ketiga perkara yang besar:
1)    Halangan (Hijab) tabiat.
2)    Halangan (Hijab) adab (budaya) dan
3)     Halangan(Hijab) pengenalan (ilmu).

Oleh kerana Rasulullah s.a.w. dan para Nabi-nabi sebelum tidak dihalang(hijab) oleh ketiga-tiga perkara tadi, maka dalam misi jiwa mereka sentiasa berjaya menegak kebenaran dan keadilan secara keseluruhan semasa hayat mereka masing-masing. Hanya ulama-ulama “al Warisatul Anbia” sahaja yang layak mengeluarkan fatwa.

* Nik Abdul Aziz Nik Hassan, bekas Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM
P Save a tree today. Do you really need to print this email?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...