Artikel Oleh : Ahmad Lutfi Othman, 14 Mei 2012
Demonstrasi Bersih 3.0 memang membawa impak besar kepada lanskap politik tanahair. Ia dilihat sebagai antara faktor utama bagi Perdana Menteri mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen ... tapi malangnya, tanpa mengambil peduli langsung tuntutan mereformasikan sistem dan proses pilihan raya, yang begitu lantang dikumandangkan dalam himpunan petang 28 April itu.
Yang dihebohkan media hanya "tindakan ganas dan kotor perusuh", kerugian besar peniaga sekitar Dataran Merdeka (termasuk kira-kira RM280 juta oleh para pengusaha haji dan umrah jika kerajaan Arab Saudi melarang rakyat negara ini mengerjakan ibadat itu!), sedangkan agenda murni pendemokrasian tidak dihiraukan sama sekali. Elit pemerintah yang cukup takut untuk melakukan pembaharuan politik dengan tangkas cuba mengalih isu sebenar.
Selepas 10 hari, perhimpunan bersejarah yang mengumpulkan lebih suku juta orang itu -- membabitkan pelbagai lapisan kaum, majoritinya anak-anak muda -- turut mendapat perhatian istimewa Majlis Fatwa Kebangsaan. Biarpun fatwa yang diputuskan nampak umum, merujuk sebarang perhimpunan atau demonstrasi, namun semua pihak melihatnya ditujukan khusus kepada Bersih 3.0.
Majlis Fatwa memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.
"Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama," kata pengerusinya, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.
(Tentunya saya cuba mengelak daripada menyanggah keputusan fatwa tetapi saya bimbang jika ia diputuskan atas kehendak elit penguasa -- apatah lagi menjelang PRU13 -- atau tanpa maklumat cukup dan pertimbangan sewajarnya, kedudukan majlis tersebut akan menjadi momokan awam. Bayangkan selepas pasukan polis diasak kiri kanan, Majlis Fatwa pula menjadi perisai Umno? Perkembangan yang cukup menyedihkan).
Apakah Majlis Fatwa langsung tidak memahami tujuan sebenar himpunan Bersih 3.0 itu, bagi memastikan proses pilihan raya yang adil dan bebas? Dan, kalaupun berlaku kacau-bilau, siapa sebenarnya yang mencetuskan (malah merancang) huru-hara dan kekacauan itu? Undang-undang mana pula yang dilanggar demonstran, atau kalaupun ada peraturan yang diceroboh, apakah ia bersifat zalim, menindas dan tidak demokratik?
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat pantas mengulas: "Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan Bersih untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara? Saya yakin fatwa ini hanya laporan akhbar prokerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur Bersih 3.0 sebelum membuat pertimbangan."
Dalam pada itu, semasa imej polis berada pada tahap terendah, ekoran keganasan terhadap demonstran pada petang 28 April lalu, tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor, dan Tan Sri Musa Hassan, turut menyokong tuduhan Dato' Seri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan "duduk-bantah" itu merupakan percubaan pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.
Hanif, Rahim dan Musa mempunyai "rekod tersendiri" dalam usaha menyekat pergerakan reformasi 1998, atau lebih khususnya bertembung langsung dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. (Rujuk kes mahkamah berkaitan taukeh judi Genting, mata lebam Anwar dan afidavit lucah). Lebih jauh lagi, Hanif menuduh ada elemen prokomunis terbabit.
Malah Rahim, dalam kenyataan terbaru dalam New Straits Times, 8 Mei, melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai father of kafir (bapa kafir), ekoran penegasan Menteri Besar Kelantan itu tentang kewajipan umat Islam menyertai Bersih 3.0. Dia juga menyifatkan Tok Guru sebagai "pelawak".
"Kasihan Rahim Noor, memang rahmat tak sampai padanya, kasihan keluarganya. Apa nak jadi polis pencen ini? Orang bukan Islam pun hormat dan sayang Tok Guru," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.
Apa pun, saya agak kaget dengan "keberanian" editor NST memilih tajuk selancang itu. Ia memang mengundang tindakan undang-undang daripada Tok Guru ataupun PAS sendiri (seperti disahkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man), tetapi bagaimana dengan pemantauan Kementerian Dalam Negeri (KDN)?
(Sebelum itu, NST juga "tersalah petik" ucapan Senator Australia, Nick Xenophon, di Parlimen negara itu pada 17 November 2009, dengan menggambarkannya sebagai anti-Islam. Xenopohon adalah salah seorang daripada pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia, termasuk demo Bersih 3.0).
Rahmah Ghazali, wartawan NST, yang terpampang namanya pada halaman 6 itu, menafikan beliau terlibat dalam penulisan berita berkenaan. Rahmah hanya menulis dua perenggan akhir daripada keseluruhan 14 para, itu pun berita bersumberkan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.
II.
Ketika berucap di Gua Musang, 4 Mei, Najib menegaskan: "Mereka (demonstran) ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan. Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir."
Tidak cukup dengan "khayalan" (atau mungkin igauan buruk) Najib itu, sepupunya, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Anwar dan para penyokongnya berniat mengambil alih (occupy) Dataran Merdeka daripada 14 hingga 28 April ekoran isu pinjaman pelajaran mahasiswa (PTPTN).
Bagaimanapun, dakwa Hishammuddin, kurangnya sokongan daripada orang ramai menyebabkan rancangan itu tidak diteruskan.
Rupanya PM dan Menteri Dalam Negeri mempunyai imiginasi yang cukup liar. Tanpa memerlukan sebarang bukti, mereka boleh bergebang (sebenarnya memfitnah) sewenang-wenangnya, semata-mata untuk memalitkan imej buruk kepada Pakatan Rakyat, sekali gus menjauhkan pengundi daripada memilih kerajaan persekutuan yang baru.
Najib dan Hishammuddin masih diulit mimpi lama. Mereka mengharapkan rakyat gerun dengan istilah "menggulingkan kerajaan", apatah lagi dengan insiden di Medan Tahrir.
Mungkin Umno masih mengimpikan masyarakat Tionghua khususnya takut dengan gambaran "keganasan" demonstran, sepertimana Dr Mahathir Mohamad pernah "mengutip untung" semasa era reformasi 1998-99, apabila mengaitkannya dengan rusuhan di Indonesia.
Malang sekali apabila himpunan Bersih 3.0 dibanjiri masyarakat Cina dari seluruh negara. Malah saya dapati mereka datang dengan penuh bersemangat, melaungkan slogan yang lebih jelas dan tidak malu-malu berkempen sesama peserta demonstrasi. Hinggakan semasa menapak di sekitar Jalan Sultan pagi 28 April itu, saya tercari-cari juga rakan-rakan sebangsa!
Jelas sekali, tiada tuntutan Bersih agar Najib meletakkan jawatan. PM hanya diminta menunaikan lapan agenda mereformasikan sistem pilihan raya, agar semua parti dan calon dapat bertanding secara adil, telus dan bersih. Tegasnya, padang permainan sama rata dapat dihamparkan.
Umum maklum bahawa kebangkitan Arab ditandai dengan beberapa faktor utama, antaranya, pemerintahan diktator kuku besi yang menekan hak rakyat, demokrasi dicabul, selain pembolotan khazanah kekayaan negara sehingga ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat dan keganasan pasukan keselamatan semasa berdepan siri tunjuk perasaan.
Pelik juga, mengapa Najib dan konco-konconya nampak begitu gusar dengan kebangkitan rakyat dan kerap mengaitkannya dengan Medan Tahrir dan Arab Spring, yang menjatuhkan beberapa diktator melalui aksi jalan raya. Apakah mereka merasakan ada persamaan dengan Gadaffi, Mubarak ataupun Ben Ali?
Anak Mahathir, Marina, yang turut menyertai demonstrasi Bersih 3.0, dan pada 9 Julai 2011, Bersih 2.0 menyinggung hal ini: "Memang kita bukan seperti Mesir, tetapi mengapa reaksi kita seperti Mubarak (ketika menangani peserta demonstrasi)?"
Mahfuz juga memberi respon: "Najib takut bayang-bayang dia sendiri. Di Malaysia, kita bukan minta dia turun. Itu minta kemenangan percuma. Kita mahu menang atau kalah dalam pilihan raya bersih dan adil."
II.
Selasa lalu, saya menerima banyak SMS, tapi kandungannya sama. Ramalan terkini PRU13. Pembubaran Parlimen, 14 Mei; penamaan pencalonan, 26 Mei; dan hari mengundi 9 Jun.
Kali ini ramai mengambil berat tarikh berkenaan. "Kalaupun tersasar sekali lagi, saya rasa ia tidak mungkin melewati Ramadan. Sebabnya, jika diadakan selepas puasa, Najib terpaksa menunggu sehingga semua jemaah haji balik, iaitu paling awal November 2012. Waktu itu rakyat dah lupa segala 'durian runtuh'," komen seorang rakan.
Bagaimanapun saya lebih tertanya-tanya soal lapan tuntutan Bersih yang tidak dipedulikan itu ...
No comments:
Post a Comment