Isteri terpedaya
KUALA LUMPUR: Seorang lagi wanita menjadi mangsa kasanova yang menggunakan ketampanan dan ayat cinta bagi memperdayakan mangsa sebelum melarikan wang mangsa.
Sebelum ini, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Ken, 31, memperdayakan wanita yang termakan ayat-ayat cinta sebelum mengikis wang mereka dengan menggunakan taktik kononnya menghadapi masalah perniagaan. Terbaru, seorang wanita dari Singapura yang juga isteri kasanova terbabit dikenali sebagai Chen, 33, berkata, dia mengenali suaminya pada jamuan makan malam di sebuah hotel.
Menurutnya, sejak perkenalan itu hubungan mereka semakin rapat kerana dia tertarik dengan sikapnya yang romantis sehingga bersetuju berkahwin.
"Kami melangsungkan perkahwinan pada 2008, namun kini dalam proses perceraian selepas tembelangnya memperdayakan ramai wanita lain terbongkar. "Malah, saya turut mengalami kerugian apabila memberi wang kepadanya RM200,000 selepas kasihan dengan masalahnya. Namun, saya tidak sangka semua itu hanya sandiwaranya," katanya ketika membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA, Wisma MCA, di sini.
Chen berkata, suaminya memberitahu ibunya sudah meninggal dunia dan memerlukan wang untuk menguruskan pengebumiannya.
"Saya pada mulanya ingin mengikutnya pulang ke kampung di Malaysia, namun tidak dibenarkan dan memberitahu akan menguruskan sendiri masalah itu.
"Saya beralah dan meminjamkan wang itu kepadanya untuk menguruskan hal keluarga, namun terkejut tidak lama kemudian apabila diberitahu suami saya itu kasanova oleh rakan dan melalui media massa," katanya.
Beliau berkata, taraf penduduk tetap (PR) suaminya di Singapura juga dibatalkan gara-gara perbuatannya sehingga dia kini menjadi buruan polis Singapura.
Semalam, Harian Metro melaporkan seorang lelaki layak digelar kasanova apabila menggunakan ketampanan dan ayat cinta bagi menipu empat wanita dalam satu masa.
No comments:
Post a Comment