SAYA ada masalah berat dan tidak mampu meluahkannya kepada sesiapa, termasuk suami. Hanya Dang Setia tempat mengadu. Saya kini hamil anak sulung dan tinggal bersama ibu mentua yang sudah lama bercerai.
Disebabkan kasihan, saya mengajaknya tinggal bersama saya. Umurnya mencecah 50 tahun tetapi perangainya tak ubah seperti orang muda.
Masalah timbul setelah ibu mentua mendapat pekerjaan dengan alasan bosan tinggal di rumah. Saya izinkan kerana dia berkeras mahu bekerja.
Sudah genap dua tahun dia bekerja dan lagaknya semakin menjadi-jadi. Kini dia semakin kerap tidak pulang ke rumah dan apabila saya tanya, alasannya ‘overtime’.
Dia juga ada teman lelaki kerana saya pernah terdengar dia menggelarkan dirinya ‘ayang’ sewaktu bersembang dan bila saya bertanya, dia mengakuinya. Saya semakin curiga kerana sepanjang bekerja, sekali pun dia tidak pernah bercuti dengan alasannya gaji akan dipotong.
Saya bertambah hairan kerana dia tidak pernah berenggang dengan telefonnya. Ada sekali terdetik di hati untuk membaca semua mesej yang ada kerana ingin tahu siapa teman lelakinya.
Alangkah terkejutnya saya kerana semua mesej itu berbaur lucah dan melalui mesej itu saya tahu mereka pernah tidur bersama. Bukannya sekali dua mereka melakukan hubungan keji itu, tetapi berkali-kali.
Satu hari, tanpa pengetahuan dia, saya tidak bekerja dan sengaja duduk diam di dalam bilik untuk mengendap perlakuannya. Sebaik terdengar telefon berbunyi, saya terdengar dia melakukan panggilan seks! Saya berasa malu dan sedih.
Saya terus keluar dari bilik dan berpura-pura menuju ke bilik air yang kebetulan berada di sebelah biliknya. Saya sempat melihat reaksi dia terkejut kerana pintu biliknya terbuka dan berpura-pura membetulkan tuala dipakainya.
Mungkin dia tidak tahu saya mengetahui sedikit sebanyak apa dilakukannya. Kini, saya juga rasa berdosa kerana terasa seakan-akan membiarkan perkara itu berlaku.
Mustahil saya ingin meluahkan kepada suami atau orang lain kerana bagi saya, perkara ini sangat memalukan. Disebabkan ini saya sering berasa lesu dan menjadi benci kepada ibu mentua. Kini, saya benci memandang wajahnya kerana dia manusia paling tidak sedar diri.
Dang Setia, beritahu saya apa perlu dilakukan. Mustahil saya akan membincangkan perkara ini dari hati ke hati dengan ibu mentua kerana perangainya yang pantang ditegur. Pasti dia berkata saya menantu kurang ajar.
NURUL HUDA
Kampar, Perak
Sikap prihatin puan terhadap ibu mentua wajar dipuji. Tindakan menegur setiap perlakuannya menunjukkan puan mengambil berat. Malah, menyelidiki pergerakan dan perlakuannya bukan bermaksud puan menjaga tepi kain, tetapi bertanggungjawab. Meskipun kerap dimarahi, puan masih setia menegur dan menjaga kebajikannya.
Puan sukar mengadu kepada suami kerana beranggapan ia memalukan, tetapi jika tidak mampu menanganinya puan boleh berterus terang demi kebaikan ibu mentua.
Suami puan mungkin lebih memahami dan dapat membantu daripada melaluinya sendirian, lebih-lebih lagi puan kini hamil.
Tidak mustahil jika puan mulakan dengan perbincangan, meskipun puan dapati ia bukan jalan terbaik dengan sikapnya yang pantang ditegur. Jika mendapat tentangan keras dan dia tetap berdegil, puan perlu lebih tegas.
Menurut pandangan Dang Setia, puan tidak perlu bimbang dikata kurang ajar apabila puan menegurnya dan bertindak lebih tegas kerana ‘sudah terang lagi bersuluh’ dia melakukan kesalahan.
Memeritkan, ibu mentua ketika ini pada usia ibarat ‘dunia kata pergi, kubur panggil mari’ masih tergamak melakukan perbuatan terkutuk. Memang tanggungjawab puan untuk menegurnya kerana puan menyaksikan sendiri perlakuan tidak bermoral itu.
Kewajipan mencegah kemungkaran bukan hanya tanggungjawab ulama dan pemerintah tetapi juga yang mengetahui kemaksiatan itu berlaku, apatah lagi yang melihatnya.
Merenung kepada tanggungjawab besar ini, Islam memberi panduan cara menangani masalah puan berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW yang mana baginda bersabda; “Barang siapa di antara kamu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaannya), jika tidak berkuasa, hendaklah mencegah dengan lisannya, jika tidak berkuasa juga, hendaklah mencegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.” Ia bermaksud puan boleh menanganinya dengan kekuasaan iaitu berkeupayaan menegah seperti menghalang daripada bertemu dan mengulangi perbuatan keji itu secara terang-terangan dan menghubungi jabatan agama.
Puan tetap perlu menanganinya melalui teguran dan nasihat meskipun mendapat tentangan dan dimarahi. Sekurang-kurangnya puan berusaha menegur perbuatannya ternyata tidak senonoh. Nyatakan puan kurang senang dengan sikap liarnya yang mengalahkan gadis belasan tahun.
Ternyata menegur orang lebih berusia dalam memberi kesedaran adalah cabaran besar. Benar kata orang tua, ‘kalau sudah jadi buluh, sukar dilentur lagi’.
Akhir sekali, puan mohon kepada Allah dibuka pintu hatinya dan dakwaan puan benci kelakuannya menunjukkan langkah pertama untuk membantu ibu mentua memahami hakikat dirinya yang sebenar.
No comments:
Post a Comment