‘Buktikan dengan DNA’
AMPANG: “Saya tidak melakukan perbuatan itu dan jika benar saya bersalah, buktikan dengan DNA (asid deoksiribonukleik),” kata seorang pengawal keselamatan dalam rayuannya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Lelaki berusia 43 tahun itu berkata demikian selepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan merogol anak kandungnya di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anaknya yang berusia lapan tahun sembilan bulan ketika itu di sebuah apartmen di Pandan Indah, antara 10 Mac sehingga 3 Ogos, tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan sehingga 10 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dalina Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Roszianayati tidak membenarkan jaminan ditawarkan berikutan kes melakukan sumbang mahram adalah kes serius, namun tertuduh merayu agar jaminan diberikan.
“Jika saya tidak bekerja, bagaimana saya mahu melantik peguam bela. Jadi saya merayu agar jaminan ditawarkan,” katanya.
Tertuduh dalam rayuannya turut mendakwa isterinya curang dan dia perlu menjaga anaknya itu. Roszianayanti kemudian memaklumkan tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan semula awal bagi menyelesaikan kes berkenaan dengan cepat.Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, pengawal keselamatan terbabit turut dituduh bagi kesalahan mencabul kehormatan anak perempuannya itu.
Di hadapan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman, tertuduh yang didakwa melakukan perbuatan mencabul terhadap anaknya itu di tempat dan waktu yang sama tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.
No comments:
Post a Comment