Syak pemandu mengantuk’
SEBERANG JAYA: “Saya syak pemandu mengantuk kerana bas bergerak ke kiri dan kanan sebelum terbalik,” kata Sarinrat Reuangthantthararot, 35, seorang daripada 28 penumpang warga Thailand dalam kejadian sebuah bas ekspres dinaiki mereka terbalik di Kilometer 139.1, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), menghala utara, awal pagi semalam.
Menurut Sarinrat, bas itu dalam perjalanan dari Singapura ke Haatyai, Thailand dipandu agak laju ditambah dengan hujan lebat sebelum pemandu hilang kawalan lalu terbalik ke kanan jalan.
“Sebelum tiba di tempat kejadian, bas dalam keadaan terhoyong-hayang menyebabkan saya berdiri beberapa kali untuk melihat pemandu.
“Namun, tiba-tiba saja pemandu hilang kawalan menyebabkan bas terbalik menyebabkan penumpang yang baru terjaga dari tidur menjerit,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam.
Berikutan kejadian jam 4 pagi itu, Sarinrat yang duduk bersama rakannya, Ratchanoo Kantanate, 29, mengalami kesakitan di dada akibat terhentak.
Ratchanoo yang tidur sebelum kejadian tidak mengalami kecederaan tetapi masih trauma dengan kejadian itu.
Sejurus terbalik, sebuah kereta Proton Pesona dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bas berkenaan, namun pemandunya terselamat.Semua penumpang bas dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Prai melalui cermin depan yang dipecahkan.Lapan penumpang cedera termasuk dua parah yang kini mendapatkan rawatan lanjut di HSJ manakala bakinya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Bagaimanapun, pemandu bas berkenaan, Sudrak Naum, 24, berasal dari Mukim Pering, Kodiang, Kedah serta pemandu kedua tidak mengalami kecederaan.
Difahamkan, mangsa yang terselamat meneruskan perjalanan ke Haatyai dengan menaiki bas gantian.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayob Yaakob, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan menghala utara dipercayai terbabas ke rel besi di kanan jalan sebelum terbalik.
Pada masa sama katanya, sebuah kereta dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bas berkenaan yang melintang di tengah jalan.
Beliau berkata, pemandu bas sudah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum setahun.
No comments:
Post a Comment