Tolong Klik kat iklan Nuffnang Tanda sokongan anda

visit me

Click Here To Show Yr Support

Berita Panas Je !!!!!!!

27 October, 2011

‘Bukan salah Umno atau Pas’

ALOR SETAR - Semua pihak diminta tidak menuding jari antara satu sama lain dan tidak meletakkan isu tanah di Padang Terap di atas bahu sesetengah pihak sahaja, namun mencari punca sebenar dan menyelesaikannya secara bersama.

Bekas Pemungut Hasil Tanah atau kini dikenali sebagai Pentadbir Tanah Daerah Padang Terap, Datuk Dr Mohd Shariff Abu Samah berkata, persoalan pada hari ini bukan mencari salah siapa tetapi perlu dirujuk kembali keadaan pada waktu berkenaan mengapa perlu diwujudkan kawasan tanaman tebu di daerah Padang Terap.

Menurutnya, sikap mencari salah siapa tidak akan menyelesaikan masalah bahkan akan merumitkan lagi keadaan.

“Tujuan asal dicadangkan untuk tanaman tebu adalah untuk mengekang ancaman komunis pada waktu itu di Padang Terap, dengan adanya penempatan kampung baru, kerajaan mampu mengekang komunis daripada mempengaruhi rakyat.

“Apabila ladang tebu diwujudkan, ancaman komunis dapat dipatahkan malah mereka gagal untuk mempengaruhi rakyat bagi menyertai perjuangan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.



Pampasan dibayar kepada semua peneroka yang mempunyai hasil



Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, Universiti Utara Malaysia (IPDM-UUM) itu juga berkata, beliau juga menjadi antara orang utama dalam usaha mewujudkan kampung baru selain membayar pampasan tanaman kepada penduduk kampung sekitar 1972.

Katanya, pada waktu berkenaan semua penduduk terlibat setuju selepas dibayarkan pampasan untuk tinggal di kawasan penempatan baru.

“Sesiapa sahaja yang mempunyai tanaman di kawasan yang diteroka akan dibayar pampasan oleh Kerajaan Pusat selepas disahkan Penghulu kawasan, saya masih ingat saya yang membuat bayaran kepada mereka semua,” katanya.

Tambahnya, beliau menjelajah ke semua penempatan di daerah Padang Terap dalam usaha untuk menerangkan tujuan dan kebaikan tanaman tebu ini.

“Namun saya bernasib baik semasa memberi penerangan di Padang Sanai pada 1972, terdapat mata-mata komunis yang turut hadir sama dalam pertemuan bersama penduduk namun saya tidak menyentuh langsung mengenai komunis, tetapi soal tanah sahaja.

“Maklumat berkenaan saya peroleh daripada penduduk kampung keesokan harinya,” katanya.

Mohd Shariff turut menjelaskan beliau juga berusaha mencari sesiapa yang tidak mempunyai pekerjaan untuk bekerja di ladang tebu berkenaan.

“Pada waktu itu, kita tidak mempunyai kepakaran dalam pemprosesan tebu, maka kita mengimport kepakaran dari luar negara, namun di sesetengah posisi pekerjaan masih banyak ditempatkan untuk anak tempatan,” katanya.



Projek tanaman tebu kurang berjaya



Mohd Shariff berkata, walaupun kajian menunjukkan tanah di kawasan itu bersesuaian dengan tanaman tebu namun projek berkenaan kurang berjaya disebabkan faktor manusia dan cuaca.

Menurutnya, bagi menampung kekurangan bekalan mentah dari ladang, kilang terpaksa mengambil bahan dari luar.

“Pihak berkaitan sentiasa berusaha untuk memastikan setiap masalah yang timbul berjaya diatasi, namun bukan semua perkara yang dirancang berjaya dicapai,” katanya.



Bukan salah Umno atau Pas



“Bukan soal Umno atau Pas yang salah tetapi demi keselamatan negara pada waktu itu, namun disebabkan projek tanaman tebu kurang berjaya, ia turut memberi kesan kepada pentadbiran kilang tebu yang tidak dapat bertahan sebelum diserahkan kepada pihak seterusnya,” katanya.

Tegasnya, beliau percaya masalah berkenaan boleh diselesaikan sekiranya Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan seperti Felcra dan Risda mampu mengambil alih kembali kawasan berkenaan daripada syarikat ladang sekarang yang mengusahakan tanaman getah.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan beberapa siri luahan rakyat di sekitar Padang Terap mengenai isu tanah sehingga pendekatan terakhir setakat ini ialah penubuhan jawatankuasa yang dinamakan Gabungan Generasi Hilang Tanah (Gagah) yang dijangka akan menyerahkan memorandum berkaitan masalah berkenaan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada 30 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...