GEORGETOWN: Seorang wanita sanggup berpura-pura ingin bersolat selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di rumahnya di Jalan Argyll, di sini, pagi Jumaat lalu.
Wanita itu bertindak demikian bagi mengelak ditahan berikutan operasi waran tangkap dijalankan JHEAIPP terhadapnya yang gagal menghadirkan diri ke mahkamah seperti ditetapkan sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, helahnya itu tidak menjadi apabila wanita berusia 40-an itu ditahan jam 5.30 pagi oleh sepasukan lima pegawai penguat kuasa JHEAIPP yang diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.
Khairul Azman berkata, pemeriksaan dilakukan di sebuah premis perniagaan tiga tingkat selepas mendapat maklumat wanita terbabit menyewa bilik.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati pintu dan jeriji premis berkenaan berkunci dari dalam. Katanya, intipan kemudiannya ternampak kelibat seorang wanita dalam premis terbabit, tetapi tidak memberi maklum balas apabila dipanggil.
“Hampir lima minit kemudian barulah pintu premis dibuka. Pemeriksaan dilakukan di seluruh rumah berkenaan termasuk beberapa bilik lain di tingkat tiga dan dua.
“Kami akhirnya menemui seorang wanita dikehendaki yang berada di dalam sebuah bilik bersama seorang lagi rakannya di tingkat dua premis itu.
“Ketika itu mereka sedang memakai telekung dan mendakwa mahu menunaikan solat Subuh. Kami kemudian membenarkannya menunaikan solat sebelum menahan wanita itu yang diburu sejak tahun lalu selepas gagal menghadirkan diri ke mahkamah,” katanya
Khairul Azman berkata, berdasarkan siasatan awal suspek ditahan atas kesalahan berkhalwat di tempat yang sama tahun lalu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, pihaknya ingin menasihati pesalah syariah agar dapat tampil ke JHEAIPP untuk membuat semakan atau menghubungi talian 04-2637200 untuk maklumat lanjut bagi mengelak dikenakan perintah waran tangkap jika gagal hadir di mahkamah.
No comments:
Post a Comment