Reman disambung
BANTING: Tahanan reman suspek utama kes rogol dan bunuh seorang remaja perempuan, See Sheau Fang, 18, yang mayatnya ditanam di dalam lubang bersimen di depan rumahnya di Taman Perwira, di sini, tujuh tahun lalu, dilanjutkan sehingga esok.
Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, membenarkan permohonan polis untuk lanjutan tempoh reman sehingga 19 Oktober berhubung kes suspek melarikan diri dari lokap ketika ditahan reman bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh itu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Hurman Hussain.
Difahamkan, suspek berusia 37 tahun disyaki merogol dan membunuh mangsa pada 26 Februari 2004 sebelum menanam mayat gadis malang itu di hadapan rumahnya.
Bagaimanapun, suspek melarikan diri menerusi siling tandas di Balai Polis Tanjung Sepat pada 13 Mac 2004. Suspek yang hidup dalam pelarian sejak tujuh tahun lalu ditahan semula minggu lalu.
Sabtu lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Adnan Abdullah berkata, penahanan seorang lelaki dalam kes melarikan kenderaan mewah mendapati individu itu disyaki terbabit dengan kes bunuh See pada 2004
Beliau berkata, polis akan membuka semula kertas siasatan kes bunuh remaja itu dan suspek sama dipercayai terbabit dengan satu lagi kes peras ugut yang dilaporkan pada 1999.
No comments:
Post a Comment