[HM] KUALA
LUMPUR: Seorang isteri berusia 38 tahun terkedu apabila dicekup suami sendiri
ketika asyik memadu asmara bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Puchong
Perdana, dekat sini.
Lebih mengaibkan perbuatan terkutuk wanita itu turut disaksikan
anak perempuannya berusia 18 tahun yang mengikuti serbuan bersama beberapa
pegawai sebuah masjid di kawasan itu.
Suami wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Razif, 47, berkata ketika serbuan kira-kira jam 2 pagi pada 2 Februari lalu, isterinya yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara, berdua-duaan dengan teman lelakinya berusia 49 tahun.
Menurutnya, kereta lelaki terbabit yang diletak di luar rumah
turut ditutup nombor pendaftarannya supaya ia tidak dicam jiran sekeliling,
sekali gus melindungi perbuatan maksiat mereka.
“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya apabila melihat isteri berasmara dengan lelaki itu. Lebih menyakitkan hati, lelaki terbabit turut berlagak samseng apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada saya di hadapan anak perempuan saya,” katanya.
Menurutnya, selepas dicekup isteri dan kekasihnya itu yang juga
seorang kakitangan sebuah universiti terkemuka di ibu negara dibawa ke Balai
Polis Bukit Puchong untuk tindakan lanjut termasuk merekodkan laporan mengenai
tindakan khalwat mereka.
“Sebaik sampai di balai (polis) tanpa rasa malu atau kesal, lelaki
itu bertindak berani apabila meluru masuk untuk membuat laporan kononnya dia
tidak bersalah dan rumahnya diceroboh.
“Lebih teruk, dia juga sengaja memeluk serta bermesra dengan
isteri di depan kami semua bertujuan untuk menaikkan kemarahan saya,” katanya.
Razif berkata, isterinya dipercayai sudah menjalinkan hubungan
dengan lelaki itu sejak empat bulan lalu dan dia sebelum ini sudah mengesyaki
perkara itu, namun tiada bukti sehingga kedua-duanya tertangkap. “Kami sudah
berkahwin selama 20 tahun dan dikurniakan lima anak. Sekarang keluarga serta
anak-anak kucar-kacir disebabkan perbuatan isteri saya yang melampau ini,”
katanya.
Ahli Jawatankuasa masjid, Harun Nayan yang terbabit serbuan
khalwat itu berkata, tiga ahli kariah termasuk imam masjid di situ membuat
serbuan selepas menerima aduan suami wanita terbabit yang mendakwa isterinya
berdua-duaan dengan lelaki lain dalam sebuah rumah.
Menurut Harun, suami serta anak perempuan wanita itu turut serta
serbuan berkenaan dan sebaik pasangan terbabit ditahan, mereka dibawa ke balai
polis.
“Laporan polis mengenai tangkapan pasangan khalwat itu dibuat imam
yang mengetuai serbuan. Ia bagi membolehkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais) membuat siasatan lanjut selepas ini.
“Selepas laporan dibuat kami semua beredar dan kebiasaannya polis
akan merujuk kes itu kepada Jais yang kemudian akan memanggil kami untuk
mendapatkan butiran kes berkenaan, namun setakat ini kami belum dipanggil untuk
memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Mohamad Rais Rasid,
berkata pihaknya belum menerima laporan kes terbabit, namun akan membuat
tindakan susulan termasuk siasatan terperinci terhadap tangkapan itu.
“Walaupun tangkapan dilakukan pegawai masjid bersama penduduk,
Jais masih mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan susulan termasuk
pendakwaan kerana pegawai masjid dilantik oleh Jais dan mempunyai kuasa untuk
mengambil tindakan sewajarnya.
“Bilal, imam, nazir dan siak adalah pegawai masjid yang dilantik
Jais dan tindakan yang diambil mereka tidak boleh dipertikaikan. “Dalam
siasatan ini kami akan dapatkan keterangan saksi dan laporan daripada pihak
sepatutnya seperti pihak masjid sebelum mengambil tindakan lanjut untuk
pendakwaan,” katanya.
Menurutnya, jika ada bukti menunjukkan pasangan terbabit melakukan
kesalahan syariah mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan
mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
No comments:
Post a Comment