PETALING JAYA: “Kamu sepatutnya taat pada suami.
Kesalahan yang kamu lakukan adalah berat kerana menderhaka kepada suami,” kata
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad selepas menjatuhkan hukuman terhadap
seorang suri rumah dan pasangan lelakinya yang masih bujang selepas mengaku
salah atas tuduhan berkhalwat, Mei tahun lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda masing-masing
RM2,800 terhadap Mohd Zefrie Mohd Jasbir Khan, 31 dan Nur Sarah Euzen Petrus,
25, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya
gagal membayar denda.
Dalam penghakimannya, Wan Mahyuddin berkata, kesalahan dilakukan pasangan itu berat terutama sekali tertuduh perempuan isteri orang.
“Sepatutnya kamu berdua dikenakan hukuman yang
berat kerana tidak beri kerjasama terhadap pegawai penguat kuasa iaitu orang
yang membantu mengelakkan kamu melakukan perkara mungkar. “Penguat kuasa
mengambil masa 40 minit mengetuk pintu dan memberi salam sehingga memaksa
mereka memecah masuk rumah itu.
“Kamu patut berterima kasih kepada penguat kuasa kerana mengelak kamu daripada melakukan zina,” katanya.
Beliau berharap hukuman yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh memberi keinsafan terhadap mereka dan tidak mengulangi lagi perbuatan itu. Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium, dekat sini, jam 4 pagi pada 16 Mei 2011. Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau maksimum penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tambah Mohd Zefrie, sekiranya hukuman berat dikenakan terhadapnya, berkemungkinan dia akan hilang pekerjaan.
“Saya belajar dari kesilapan. Sebelum ini saya kurang pengetahuan agama, tetapi sekarang saya sudah belajar sikit sebanyak mengenai Islam,” katanya yang turut mengakui ini adalah kesalahannya yang pertama. Sementara itu, Nur Sarah pula mengakui kesilapan yang dilakukannya yang bergelar isteri ketika kejadian.
Bagaimanapun, dia memberitahu mahkamah dia kini sudah bercerai dengan suaminya.
Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan itu kerana dia tidak mengemukakan surat cerai dan dokumen berkaitan.
Menurut Nur Sarah, ketika kejadian suaminya turut ada bersama pegawai penguat kuasa ketika serbuan dilakukan.
Mengikut fakta kes, ketika ditemui dalam rumah berkenaan, tertuduh perempuan pada ketika itu berada dalam bilik dan sedang tidur dengan memakai baju tidur paras paha manakala tertuduh lelaki berada di bilik pertama dan memakai seluar pendek kelabu dan kemeja-T.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Syarie daripada Jabatan Agama Islam Selangor, Shafezan Rusli yang berhujah tindakan tertuduh tidak memberi kerjasama terhadap pegawai penguat kuasa adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima.
No comments:
Post a Comment