BH] KLUANG: Seorang ibu muda yang masih dalam proses perceraian tergamak membawa anaknya yang baru berusia setahun ketika memadu asmara semasa menyambut tahun baru di sebuah bilik hotel bajet di sini bersama seorang duda beranak satu yang juga turut membawa anaknya yang berusia lima tahun, pagi semalam.
Namun, helah pasangan itu yang pada mulanya mengaku sebagai pasangan suami isteri gagal mengaburi pasukan penguat kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang apabila mereka akhirnya ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas gagal menunjukkan sebarang bukti ikatan perkahwinan mereka.
Ketika serbuan dijalankan sekitar hotel bajet itu, pasangan terbabit mengambil masa hampir 20 minit sebelum membuka pintu selepas pegawai bertugas mengetuk bilik mereka.
Sebaik pintu dibuka duda berusia 29 tahun itu dilihat hanya memakai seluar pendek dan kemeja yang tidak berbutang dan ibu muda 24 tahun itu memakai seluar ketat dan kemeja, manakala kedua-dua anak itu sedang tidur di atas katil.
Pegawai Penguat Kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang, Ustaz Anuar Kosnin yang mengetuai operasi cegah maksiat ambang tahun baru itu berkata, pasangan terbabit yang mengaku dalam perjalanan dari Pahang ke Batu Pahat itu memberi alasan keletihan dan hanya singgah berehat di hotel berkenaan.
“Bagaimanapun mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat apabila hasil soal siasat akhirnya mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah suami isteri, selain mengaku akan berkahwin tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pada operasi cegah maksiat selama enam jam di sekitar daerah ini.
Dalam operasi cegah maksiat bersepadu sempena sambutan tahun baru yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Cawangan Penyiasatan Khas Kem Mahkota bermula jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi, tiga pasangan lain termasuk dua pasangan warga Indonesia ditahan.
Sementara itu, dalam tangkapan berasingan yang dilakukan di Simpang Renggam, sepasang kekasih berusia 35 dan 24 tahun, masih tidak serik apabila ditangkap berkhalwat untuk kali ketiga.
Pasangan itu yang juga pekerja di sebuah kilang papan dikenali di kalangan penguat kuasa agama daerah ini kerana pernah diberi kaunseling dan nasihat di hadapan keluarga masing-masing sebelum ini.
Ketika ditahan pihak berkuasa, pasangan itu langsung tidak menunjukkan reaksi cemas, sebaliknya sanggup memberi alasan mahu melepaskan rindu.
Malah, turut memanggil nama timangan masing-masing iaitu 'papa dan mama' di hadapan semua pegawai operasi yang bertugas tanpa rasa bersalah dan janggal ketika soal siasat dijalankan.
Semua pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
P/s: Air dah naik ke kepala!
No comments:
Post a Comment