KLANG: “Awak sudah 58 (tahun)...insaflah,” kata Majistret Nadia Othman kepada seorang warga emas yang cuba menipu mahkamah dengan mengemukakan seorang wanita didakwa isteri sebagai penjamin, di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh, Idris Osman sebelum itu mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri enam tandan kelapa sawit berharga RM42, di Pulau Indah, awal pagi Selasa lalu. Bagaimanapun, Nadia membenarkan Idris yang memiliki 10 kesalahan lampau membabitkan curi basikal dan motosikal antara 1971 dan 1994 dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 sementara menanti tarikh jatuh hukum pada 24 Jun ini.
Nadia berkata demikian selepas seorang wanita berusia 30-an tampil untuk menjamin tertuduh gagal mengemukakan sijil nikah kepada mahkamah. “Kamu kata sudah nikah. Tetapi tiada surat nikah. Awak tahu apa hukuman menipu di mahkamah? “Bagaimana saya nak timbangkan permohonan kamu (untuk diikat jamin). Berapa banyak kesalahan kamu sudah lakukan? Kamu tidak ada rasa bersalah ke?” katanya. Terdahulu, Idris yang hadir dalam keadaan muka yang bengkak memberitahu mahkamah dia dibelasah, manakala keretanya sudah hancur kerana menjadi sasaran orang kampung. Dia juga mengaku bersekedudukan dengan wanita yang mahu menjaminnya itu. Mengikut pertuduhan, Idris bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mencuri tandan kelapa sawit itu di tepi Jalan Tan Sri Muhamad Taib, Sungai Kembong, Pulau Indah, jam 3.30 pagi, 14 Jun lalu.
No comments:
Post a Comment