KUALA TERENGGANU 15 Jun - Seorang nelayan masih mampu tersenyum apabila dihukum penjara 17 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol dan melakukan seks oral terhadap seorang remaja berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Baharuddin Muhammad, 39, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Zainal Abidin Kamarudin selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol dan satu tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa di bawah sebuah rumah bernombor 320, Jalan Bukit Losong, Losong Panglima Perang di sini kira-kira pukul 10 malam, 7 Januari 2008.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Tertuduh turut didakwa merogol mangsa di dalam sebuah bilik di rumah yang sama kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 7 Februari 2008 dan kira-kira pukul 2.30 pagi, 9 Februari 2008.
Bagi kesalahan rogol, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Zainal Abidin menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan sebatan dua kali bagi tuduhan seks luar tabii. Tertuduh turut dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali bagi setiap pertuduhan rogol yang dihadapinya.
Mahkamah memerintahkan hukuman ke atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dijalankan berasingan dengan pertuduhan merogol.
Bagaimanapun hukuman bagi kedua-dua pertuduhan merogol diperintah berjalan serentak.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik manakala tertuduh diwakili oleh peguam Abdul Aziz Muda
No comments:
Post a Comment