SAYA ada menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada isteri dalam keadaan marah seperti berikut: “Mulai dari aku keluar rumah, kau bukan isteri aku. Aku lepaskan kau.”
Perkara ini terjadi apabila saya mengesyaki isteri ada hubungan dengan suami orang dan menceritakan permasalahan keluarga kepadanya.
Pada 22 Mei lalu saya menghantar satu lagi SMS selepas berada dalam keadaan tenang dengan mesejnya seperti berikut: “Mulai penerimaan SMS ini, aku rujuk kau kembali.”
Sebelum itu saya ada berbincang dengan isteri untuk merujuknya kembali dan sehingga e-mel ini dihantar dia masih berdiam diri dan tidak mahu bercakap atau memaklumkan apa-apa keputusannya terhadap rujuk saya itu.
Dia hanya berkata akan mengisi borang (saya tidak tahu borang apa) dan menghantarnya kepada pejabat agama dan menyuruh saya tunggu keputusan. Adakah kandungan SMS itu saya sudah menceraikan isteri saya? Adakah SMS awal itu dikira sah walaupun saya menghantarnya dalam keadaan marah, cemburu dan tanpa niat untuk melepaskannya?
Melalui SMS kedua, adakah isteri saya masih isteri saya yang sah walaupun dia masih tidak memberikan jawapan?
FIKRI AHMAD
Pulau Pinang
HUKUM talak melalui SMS adalah sah dan jatuh talak apabila berlaku. Begitu juga sah untuk rujuk kembali melalui SMS.
Seseorang suami boleh rujuk kembali kepada isteri dalam masa idah talak raj’I tanpa akad nikah yang baru.
Rujuk ini tidak memerlukan persetujuan isteri. Ia adalah hak suami sama ada untuk rujuk atau melepaskan isteri ketika dalam idah.
Ini jelas apabila Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan anak yang dijadikan oleh Allah dalam rahim mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.
“Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali isteri-isteri itu semasa idah jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya dan suami mempunyai satu kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah ayat 228)
Seseorang isteri yang tidak bersetuju dengan rujuk itu boleh merayu di Mahkamah Syariah dengan mengemukakan alasan yang dibenarkan syarak bahawa dia tidak boleh hidup bersama lagi dengan suami.
Ia bagaimanapun akan membabitkan prosedur pengesahan cerai terlebih dahulu kerana berlaku di luar mahkamah. Pengesahan rujuk dan perceraian yang kedua sekiranya perlu.
No comments:
Post a Comment