KOTA BHARU: Kontroversi membabitkan penyanyi mak nyah tersohor Kelantan, Kajol, 25, kini memasuki episod baru apabila dia disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) akibat keceluparannya mengaku bukan Islam ketika dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, 21 Jun lalu.
Pegawai JAHEAIK Jajahan Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati penyanyi yang terkenal dengan lagu berentak Bollywood itu melakukan kesalahan serius apabila mengaku bukan Islam.
“Segala bukti mengenai pengakuan penyanyi itu sudah diperoleh dan fail siasatan mengenainya sudah dibuka dan dihantar ke ibu pejabat JAHEAIK.
“Kami mengambil tindakan segera membuka fail siasatan kerana Kajol secara sedar mengaku bukan Islam walaupun pada pengenalan dirinya menunjukkan agamanya Islam,” katanya.
Sebelum ini, muka depan Harian Metro melaporkan, Kajol atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Jeffri dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai ketika mengadakan persembahan di sebuah tapak ekspo di Tanah Merah, 15 April lalu.
Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan selepas Kajol merayu semua hukuman dijatuhkan ke atasnya dikemukakan semula kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan semula pada prosiding akan datang.
Kajol yang berseluar jeans biru dan berbaju panjang berwarna hitam mengaku salah atas pertuduhan serta fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie, Aris Fadhilah.
Ketika nasihat diberikan, Kajol dilihat menyampuk dengan berkata: “Saya bukan orang Islam, tetapi Orang Asli”, menyebabkan hakim bertegas kerana dokumen dikemukakan di hadapannya mengesahkan Kajol beragama Islam.
“Apa yang penting, kami sudah buka fail siasatan dan penyanyi itu akan disiasat atas perbuatannya,” katanya.
Sebelum dijatuhi hukuman itu, Kajol pernah mencetuskan kontroversi apabila mengaku lebih rela mati daripada berubah menjadi lelaki sejati.
Muka depan Harian Metro pada 20 April lalu melaporkan, Kajol memberi alasan bukan sengaja mahu menjadi wanita, tapi naluri wanita memang wujud dalam dirinya sejak zaman kanak-kanak lagi.
Kajol turut mengakui dia ‘lemas’ dengan pelbagai dugaan menimpanya, termasuk ditahan penguat kuasa jabatan agama menyebabkan dia mengambil keputusan nekad untuk tidak lagi membuat persembahan di Kelantan.
“Saya manusia biasa dan tidak mahu terus terseksa. Saya sedar, saya seperti diharamkan di Kelantan. Daripada terus ditahan, lebih baik saya berhenti daripada membuat persembahan di Kelantan.
“Justeru, kepada semua peminat yang memberi sokongan setiap kali saya membuat persembahan di Kelantan, saya ucapkan ribuan terima kasih. Kita tidak akan berjumpa lagi di Kelantan,” katanya yang mendakwa mempunyai 25 album.
No comments:
Post a Comment