KUALA LUMPUR 15 Jun - Penyanyi Saida atau Siti Norsaida Tarudin menolak tawaran lanjut suaminya untuk mengerjakan umrah bersama-sama selepas tawaran asal gagal disempurnakan kerana terikat dengan komitmen menyertai persembahan teater.
''Maafkan saya, saya menolak tawaran lanjut ini dan tetap dengan keputusan untuk meneruskan kes kerana tiada komunikasi lagi antara kami,'' katanya.
Saida, 35, yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini dengan ditemani kakak iparnya, Rozie Abdul Rashid.
Pada prosiding bertarikh 11 Mei lalu, Saida bersetuju dengan tawaran suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 40, untuk bersama-sama mengerjakan umrah dalam masa terdekat.
Namun menurut kakak penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu, dia tidak dapat memenuhinya kerana terikat dengan persembahan teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an yang berakhir pada 6 Jun lalu.
Selain itu, kata Saida, ibu mertuanya meninggal dunia pada 4 Jun lalu dan dia sempat menziarahi arwah pada hari tersebut.
Terdahulu, peguam syarie, Amli Embong yang mewakili Mohd. Ghazali menyatakan, anak guamnya tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana masih bersedih dengan kematian ibunya.
Bagaimanapun menurut Amli, arahan anak guamnya ialah supaya tawaran umrah dilanjutkan sebagai usaha untuk menyelamatkan rumah tangga pasangan yang mempunyai empat anak itu.
Sebelum itu, Amli dan Mohd. Nazib masing-masing mengesahkan laporan hakam daripada dua wakil yang dilantik oleh anak-anak guam mereka yang memutuskan bahawa tiada sebarang penyelesaian dicapai.
Hakim Syarie, Mohd. Suhaily Rosdi seterusnya memutuskan hakam itu terbatal dan mahkamah akan melantik wakil hakam daripada pihak mahkamah bagi membantu pasangan itu mencari kata putus.
Menurut beliau, mahkamah tidak menghalang dan tidak pula menggalakkan perceraian tetapi Islam tidak suka akan sikap dayus.
''Mahkamah memberi tempoh lima minggu sehingga menunggu keputusan hakam baru.
''Seelok-eloknya anak-anak juga dapat hadir pada prosiding keputusan itu nanti kerana permohonan cerai ini turut melibatkan kehidupan mereka,'' katanya.
Beliau menetapkan sebutan keputusan hakam pada 20 Julai ini
No comments:
Post a Comment