KUALA LUMPUR: “Saya tak sanggup lagi hidup begini, tapi saya terpaksa kerana ini saja cara untuk saya melepaskan diri daripada mereka,” kata seorang peniaga wanita yang berpakat dengan keluarga mengisytiharkan kononnya dirinya sudah mati semata-mata untuk mengelak daripada gangguan ceti haram atau along.
Wanita berusia 59 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah berkata, untuk meyakinkan pelbagai pihak mengenai ‘kematiannya’ satu majlis kenduri tahlil diadakan dengan dihadiri saudara-mara, jiran dan rakan.
“Semua mereka menyangka saya sudah mati, hanya beberapa anggota keluarga yang tahu kisah sebenar. Bukan saya berniat menipu mereka, tapi saya lakukan ini kerana terpaksa.
“Saya amat rindukan kehidupan seperti dulu, gembira bersama keluarga dan menguruskan perniagaan seperti biasa yang kini hanya tinggal kenangan,” katanya.
“Saya amat rindukan kehidupan seperti dulu, gembira bersama keluarga dan menguruskan perniagaan seperti biasa yang kini hanya tinggal kenangan,” katanya.
Halimah ditemui Harian Metro ketika membuat aduan dan meminta khidmat nasihat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai masalahnya itu, baru-baru ini.
Wanita itu berkata, dia terpaksa mengisytiharkan kematian palsu apabila keluarganya tidak tahan diancam along termasuk menerima ugutan menerusi SMS yang menyatakan rumahnya akan dipecah masuk dan semua barangan akan diambil.
Katanya, masalah bermula apabila dia membuat pinjaman RM10,000 daripada seorang along untuk menampung kos perniagaannya dan membayar gaji pekerja serta kos lain September tahun lalu.
“Pinjaman RM10,000 itu sudah saya bayar dalam masa ditetapkan. Namun, selepas itu, saya menerima panggilan daripada along menyatakan sejumlah wang sudah dimasukkan ke dalam akaun saya dan perlu membuat bayaran dalam masa 10 hari.
“Sebaik selesai bayaran berkenaan, saya dihubungi lagi, kali ini individu lain pula yang mendakwa sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun tanpa saya minta dan mereka mendesak saya membuat bayaran dalam tempoh tertentu.
“Sejak itu, hidup saya dihimpit masalah kerana terus menerima wang RM3,000 hingga RM7,000 pada satu-satu masa yang dimasukkan terus ke dalam akaun beberapa kali menyebabkan saya berurusan dengan 14 along serentak,” katanya.
Halimah berkata, setakat ini dia sudah membuat bayaran RM140,000 kepada 14 along terbabit, namun jumlah itu dikatakan belum mencukupi menyebabkan dia diganggu dan keselamatan keluarganya diancam.
Berikutan itu, Halimah menyembunyikan diri di beberapa kawasan di Pahang, Terengganu dan Melaka bagi mengelak diapa-apakan kumpulan terbabit yang menunggu di hadapan rumahnya setiap hari.
“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, anak saya memberitahu along terbabit saya sudah mati sedangkan saya masih hidup. Saya kasihankan anak kerana terpaksa berdepan along dan pada masa sama, menguruskan perniagaan kami yang terjejas akibat kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM, Saharuddin Abu Bakar, berkata pihaknya menerima aduan terbabit dan berusaha mencari jalan bagi membantu Halimah.
Katanya, seperti kes lain, PPIM akan bertindak sebagai orang tengah dengan mengaturkan perbincangan dengan along terbabit dan menetapkan satu kadar munasabah yang perlu dijelaskan.
“Kami dapati aktiviti ‘along berantai’ ini dijalankan oleh individu sama, malah modus operandi yang digunakan juga serupa iaitu memasukkan wang ke dalam akaun mangsa hanya selepas bayaran pinjaman terdahulu dilunaskan.
“Justeru, kami meminta orang ramai berhati-hati apabila berurusan dengan orang lain terutama yang membabitkan wang ringgit bagi mengelakkan ditipu,” katanya
No comments:
Post a Comment