KUANTAN: Hanya kerana perselisihan faham sepasang suami isteri bergaduh besar, kelmarin dan semalam, lelaki berkenaan semakin tidak keruan apabila pasangannya ditemui mati di dalam bilik stor rumah mereka di Taman Setali, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Yap Kwee Yin, 56, dipercayai bergaduh dengan suaminya berhubung kes saman sebelum lelaki itu meninggalkan isterinya berseorangan di dalam rumah.
Difahamkan, perkara buruk yang menimpa Kwee Yin mula disedari kakaknya selepas gagal menghubungi mangsa sebelum bergegas ke rumah suri rumah itu kerana berasa curiga dan mendapati pintu rumah berkunci.
Selepas pintu depan rumah mangsa diketuk beberapa kali dan usaha memanggil nama mangsa tidak berjaya, kakak mangsa terpaksa mengumpil pintu rumah untuk masuk.
Ketika pemeriksaan di sekitar rumah, kakak mangsa kemudian tergamam sebelum menitiskan air mata selepas melihat adiknya itu terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia di dalam bilik stor.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik saja menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian suri rumah berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati, beberapa jiran berhampiran mendakwa terdengar bunyi bising dalam rumah mangsa dipercayai pertengkaran antara wanita terbabit dengan suaminya sebelum mangsa ditinggalkan bersendirian.
“Bagaimanapun, polis akan memanggil suami mangsa untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit.
“Bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dijalankan esok (hari ini) di HTAA Kuantan,” katanya.
No comments:
Post a Comment