KUALA LUMPUR: Bagaikan tidak serik, seorang pemandu teksi yang sudah empat kali dihadapkan ke muka pengadilan sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan mencabul kehormatan dan menyamun dengan parang terhadap seorang pembantu pengurus di dalam teksinya, Mac lalu.
M Saravanan, 28, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa memaksa mangsa yang berusia 29 tahun melakukan seks oral terhadapnya di dalam teksinya di Jalan P Ramlee, Jalan Sung Peng pada jam 3.30 pagi, 6 Mac 2011.
Dia turut didakwa meraba mangsa di lokasi dan masa sama.
Bagi pertuduhan itu, Saravanan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Pada masa dan lokasi sama, dia didakwa turut merompak telefon bimbit dan wang tunai RM500 dengan menggunakan parang.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai dua lagi kes yang masih dibicarakan dan tertuduh mengulangi kesalahan sama ketika dalam tempoh jaminan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
No comments:
Post a Comment