KULIM - Seorang ibu beranak dua berusia 23 tahun ditangkap khalwat bersama kekasihnya di sini, kira-kira jam 9 malam.
Ketua Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) Azmi Rejab berkata, suami pasangan perempuan berusia 25 tahun, telah beberapa kali memberi amaran kepada teman lelaki isterinya supaya tidak menjalinkan hubungan kerana mereka sudah mempunyai anak berusia enam bulan dan satu tahun setengah.
Menurutnya, pada hari kejadian, dia (suami) menerima panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan seorang lelaki telah pun masuk ke rumahnya.
Dia yang ketika itu sedang bekerja balik ke rumah bersama seorang rakan.
Sebaik sahaja sampai di rumah, dia mendapati pintu rumahnya berkunci. Apabila pintu dibuka oleh isterinya, dia melihat teman lelaki isterinya sedang berbaring di atas sofa. Dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada PADK untuk tindakan seterusnya.
“PADK pergi ke tempat kejadian bersama tiga penguat kuasa. Apabila sampai di rumah pasangan itu, PADK mendapati berlaku pergelutan di antara suami dengan teman lelaki isterinya.
“Kami dimaklumkan oleh si suami bahawa dia pernah terserempak isteri dan kekasihnya keluar bersama-sama beberapa kali, ” katanya.
Azmi berkata, keadaan lebih tegang apabila pasangan perempuan mengamuk dengan memecahkan beberapa barangan di dalam rumahnya.
Untuk memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini, orang ramai yang ada terpaksa mengikat tangannya.
Pasangan itu akan disiasat di bawah seksyen 9(1)(2) Enekman Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 setiap seorang atau kedua-duanya sekali.
Pasangan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkapan terhadap diri mereka.
“Saya sudah berbincang dengan mahkamah dan akan melaksanakan pertuduhan yang lebih berat terhadap mana-mana pasangan yang terlibat dalam kesalahan berkhalwat.
“Dari bulan Januari hingga Februari tahun ini, 20 kes tangkapan mengikut seksyen 9 sudah dibuat dan ia melibatkan hampir 40 individu.
“Mereka yang terlibat terdiri dari kalangan pelajar, warga asing, kakitangan awam dan pegawai kanan pertubuhan beruniform serta sukarelawan,” katanya kepada Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment