Tolong Klik kat iklan Nuffnang Tanda sokongan anda

visit me

Click Here To Show Yr Support

Berita Panas Je !!!!!!!

28 March, 2011

Mar 28, 2011 [DIARI KEHIDUPAN] - Mangsa ‘lakonan’ suami


Mangsa ‘lakonan’ suami

SAYA wanita berusia 26 tahun dan baru melangsungkan perkahwinan dengan suami tercinta sebulan lalu. Apa yang merunsingkan saya kisah percintaan kami yang orang lain mungkin tak dapat terima. Ini kerana sebelum kami berkahwin, suami saya adalah suami wanita lain.
Saya berada dalam dilema dan pelbagai persoalan bermain di fikiran antaranya, adakah saya akan mengalami hukum karma kerana mengahwini suami orang atau adakah Tuhan akan membalas perbuatan yang bukan sengaja saya lakukan?
Biarlah saya ceritakan sedikit situasi berkenaan supaya Dang Setia mendapat gambaran mengenai masalah saya.

Sebelum suami saya mengahwini wanita itu (isteri pertama) empat tahun lalu, kami memang sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah menengah lagi, cuma kami belum ada jodoh.Beberapa tahun selepas suami menamatkan STPM, dia mengambil keputusan untuk bertunang dengan wanita itu yang dikenalinya di tempat kerja selepas sebulan berkenalan dan berkahwin setahun kemudian.

Suami mengatakan kepada saya bahawa perkahwinannya dengan wanita itu adalah satu kesilapan paling besar dalam hidupnya. Suami mengatakan begitu kerana dia langsung tak menyintainya dan hanya menerima wanita itu selepas mendengar nasihat orang tuanya.

Suami mengaku bahawa dia masih mentah untuk berfikir secara rasional mengenai masa depannya dan hanya menurut kemahuan orang tuanya saja.

Hubungan suami dengan wanita itu memang bermasalah sejak awal perkahwinan lagi. Pada hari pertama perkahwinan mereka sudah tidak sehaluan. Suami mengaku balik ke kampung halamannya selepas lima hari berkahwin dan wanita itu tidak mengikut suami pulang ke rumah mentuanya.

Selepas dua tahun berkahwin, suami membuat keputusan untuk menceraikan wanita itu tapi setelah dinasihatkan keluarga kedua-dua belah pihak akhirnya suami memberikan peluang kedua kepada isterinya.

Empat tahun berlalu keadaan mereka semakin teruk. Suami memberi peluang dengan harapan keadaan rumah tangga akan menjadi lebih baik tapi wanita itu tidak berubah. Mungkin disebabkan faktor usia mereka yang berbeza menyebabkan wanita itu perlu mengawal segala-galanya termasuk suami (wanita itu tua lima tahun daripada suami).

Dipendekkan cerita, saya bertemu kembali dengan dia melalui ruang sosial yang terkenal. Suami menyatakan yang dia gembira sangat selepas bertahun-tahun tak berjumpa.

Saya dengan perasaan hairan hanya menerima luahan hati suami tanpa bertanyakan kenapa dia terlalu gembira menemui saya melalui ruang sosial berkenaan. Seperti pasangan berlawanan jenis yang mula tertarik antara satu sama lain, kami memulakan semula pertemuan berkenaan dengan bertanyakan khabar masing-masing sehinggakan soal status. Suami mengaku masih bujang dan tanpa rasa ragu-ragu saya percaya semua kata-katanya.

Kami membuat keputusan untuk bertemu dan mula menjalin hubungan cinta romantik. Dia akan menelefon saya sebelum tidur hingga ke pagi jika saya tiada kuliah awal pagi keesokannya. Dia kerap menelefon saya tidak kira masa menyebabkan saya langsung tidak syak bahawa dia sudah berkahwin. Hubungan kami menjadi sangat intim sehingga saya disahkan mengandung. Dia sangat gembira dan teruja bila mengetahui saya mengandung.

Saya hanya tahu dia suami orang selepas saya disahkan mengandung anaknya (suami dan wanita itu tidak memiliki cahaya mata). Hanya Tuhan saja tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Saya bertanyakan pendapat kawan-kawan apa yang perlu saya lakukan terhadap kandungan saya sebelum diketahui keluarga.

Semua kawan-kawan menasihatkan saya untuk menggugurkannya memandangkan saya belum konvokesyen (saya baru saja tamat pengajian ketika itu) dan belum ada masa depan yang menjamin kehidupan saya suatu hari nanti.

Demi Tuhan saya mengaku tidak terlintas langsung di fikiran untuk berbuat demikian kerana dalam agama yang saya anuti amatlah melarang umatnya untuk menggugur kandungan. Saya bertanya kepada dia kenapa dia sanggup melakukan begitu kepada saya dan jawapannya sangat mudah dan tanpa rasa takut dia berani bertanggungjawab.

Dia mengatakan sekiranya dia mengaku nescaya saya tidak mahu meneruskan hubungan cinta dengannya. Terus terang dari hati saya katakan bahawa saya langsung tidak berniat untuk terbabit dengan rumah tangga mereka.

Dia mengaku dia memang sudah lama merancang pelan B sekiranya rancangan asal dirasakan tidak akan membuatkan saya mengahwininya dalam masa terdekat. Untuk pengetahuan Dang Setia, pelan yang dimaksudkan suami adalah rancangan untuk membuatkan saya mengandung sebelum saya tahu dia sudah beristeri dan untuk membuatkan saya mengahwininya.

Masalah saya sekarang adalah saya dibelenggu rasa bersalah terhadap kaum sejenis walaupun saya tahu masalah rumah tangga suami dengan wanita itu bukan disebabkan saya. Suami sendiri mengaku yang saya tiada kaitan dengan keputusannya menceraikan wanita itu untuk kedua kalinya.

Apa pendapat Dang Setia? Leraikanlah sedikit sebanyak kekusutan yang saya alami ini. Adakah saya bersalah?

ISTERI DILEMA,
Kuala Lumpur.



“Orang cemerlang sentiasa fokus pada apa yang dapat dilakukan dan tidak perlu risau berkenaan apa yang tidak mampu dilakukan,” begitulah petua ke-19 dalam buku karya pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Bagi Dang Setia, petua itu boleh dipraktikkan dalam kehidupan puan. Dalam soal itu, puan tidak bersalah 100 peratus kerana puan jelas adalah mangsa keadaan dek 'lakonan' suami puan.

Kesalahan puan lebih kepada terlalu mudah menyerahkan kesucian diri dan terlalu percayakan kekasih tanpa menyiasat latar belakangnya terlebih dulu.
Apapun, kesilapan itu sudah pun berlaku. Puan tidak perlu menoleh ke belakang lagi. Apa yang penting, puan menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga demi anak yang bakal dilahirkan kelak.

Mengenai hukum karma kerana merampas suami orang, itu semua kerja Tuhan. Puan tiada niat berbuat begitu sebaliknya terpedaya dengan muslihat kekasih yang kini menjadi suami sah.

Berusahalah menjadi isteri mithali dan terbaik buat suami. Senakal manapun suami, jika dia terpikat dengan pakej hebat yang dimiliki isterinya, kebarangkalian untuk dia kekal setia terhadap isteri boleh dikatakan tinggi.

Paling berisiko dalam rumah tangga, kedua-dua pihak tidak menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna. Sebaik-baiknya hal duniawi harus diimbangi dengan hal akhirat supaya rumah tangga aman bahagia.

Selain berusaha memikat suami, puan juga seharusnya sentiasa berdoa supaya diampuni dosa silam dan dikurniakan keluarga bahagia.

Doa yang boleh dipraktikkan antaranya doa pelindung daripada sifat negatif. “Ya Allah, aku berlindung denganmu daripada perasaan keluh kesah dan dukacita, dan aku berlindung denganmu daripada sikap kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung denganmu daripada sifat ketakutan dan kebakhilan dan aku berlindung denganmu daripada tekanan hutang dan kekerasan lelaki.”

Dang Setia berharap semoga puan adalah 'Mrs Right' (isteri sempurna) buat suami. Pada masa sama, harap-harap suami puan dapat bertaubat dan menyesali dosa silamnya.

Jika ada keinsafan daripada kedua-dua pihak, insya-Allah rumah tangga akan bahagia apatah lagi jika ada keserasian di antara suami isteri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...