Perkahwinan hanya bertahan lima minggu
PENDANG - Perkahwinan satu pasangan yang berumur hanya bertahan kira-kira lima minggu setelah mereka bersetuju untuk bercerai selepas kes itu dirujuk ke Mahkamah Rendah Syariah Pendang semalam.
Md Isa Ahmad dan pasangannya, Fatimah Abdullah berkahwin pada 15 Mei lalu bersetuju membubarkan ikatan pernikahan itu setelah mahkamah membenarkan permohonan yang dikemukakan Md Isa mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008.
Ketika ditanya Hakim Syarie, Sheikh Shahmi Awang sama ada bersetuju dengan permohonan itu, Fatimah mengangguk.
Sheikh Shahmi kemudian bertanya kepada Md Isa sama ada pernah bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh perkahwinan berkenaan.
Md Isa menjawab tidak pernah tetapi disangkal isterinya dengan berkata pernah. Lelaki itu kemudian mengubah kenyataannya kepada pernah.
Hakim berkata, pertanyaan itu untuk kebaikan bersama dan sebagai memenuhi tuntutan syarak.
“Kalau pasangan yang bernikah tetapi tidak pernah bersetubuh, jika bercerai dan ingin kembali semula perlu melalui proses nikah.
“Tetapi pasangan yang pernah bersetubuh, jika bercerai dan ingin kembali semula kepada pasangannya itu, hanya perlu melalui proses rujuk tanpa perlu dinikahkan semula. Ini dipanggil talak rajie,” katanya.
Sheikh Shahmi kemudian meminta Md Isa melafazkan talak ke atas isterinya itu.
Sementara itu, dalam kes lain, mahkamah memerintah pasangan Abdul Rahman Jusof dan isterinya, Rahmah Awang melantik wakil sebagai orang tengah untuk membantu menyelesaikan masalah permohonan perceraian mereka.
Abdul Rahman mengemukakan permohonan untuk bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 manakala Rahmah tidak bersetuju.
“Saya nak buat juga sebab tidak tahan gayanya,” kata Abdul Rahman selepas ditanya oleh Sheikh Shahmi.
Hakim kemudian menetapkan 5 Julai depan sebagai tarikh untuk kedua-dua pihak membawa saksi ke mahkamah atau mengemukakan nama, alamat dan nombor kad pengenalan mereka bagi memudahkan urusan surat mesyuarat mahkamah.
Dalam satu kes lain, mahkamah yang sama memerintahkan Mohamad Zaidy Said mengemukakan penyataan pembelaan terhadap permohonan perceraian yang dikemukakan isterinya, Junaidah Ishak mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008.
Mohamad Zaidy memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak menerima sebarang dokumen ketika ditahan di pusat serenti.
Sehubungan itu, mahkamah bersetuju memberi satu salinan dokumen permohonan perceraian isterinya untuk memudahkan Mohamad Zaidy membuat pernyataan balas.
Kes itu juga akan disebut semula di mahkamah pada 4 Julai ini.
No comments:
Post a Comment