JEMPOL: Sebuah keluarga terperanjat apabila mendapati gadis berusia 16 tahun yang menumpang di kediaman mereka di Felda Jaya Selatan Raja Alias sejak dua minggu lalu melahirkan bayi di dalam tandas selepas mengadu sakit perut, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian 9.30 pagi itu, remaja perempuan yang juga anak angkat keluarga berkenaan terlebih dulu memberitahu kesakitan dialaminya sebelum melihat seorang bayi perempuan keluar dari perutnya lalu terjatuh ke dalam mangkuk tandas.
Isteri pemilik rumah yang dikatakan terdengar jeritan kuat terkejut apabila melihat gadis berkenaan keluar dari tandas sambil mengendong bayi.
Perkara itu dilaporkan kepada polis dan ambulans untuk tindakan lanjut, namun bayi berkenaan disahkan meninggal dunia sejurus petugas perubatan tiba di lokasi kejadian. Difahamkan, remaja yang mahu menghabiskan cuti sekolah bersama keluarga itu tidak disyaki hamil berikutan saiz perutnya kelihatan seperti normal.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, siasatan awal mendapati gadis itu belajar di Port Dickson.
“Kira-kira jam 9.30 pagi, remaja yang menginap di sebuah rumah kenalannya sempena cuti sekolah dikatakan mengadu sakit perut lalu pergi ke tandas.
“Sewaktu meneran, bayi dipercayai berusia tujuh bulan itu tiba-tiba terkeluar dan masuk ke dalam mangkuk tandas. Bayi itu kdisahkan meninggal dunia ketika ambulans tiba,” katanya.
Menurut Hamdan, punca sebenar kematian bayi itu hanya ditentukan selepas selesai proses bedah siasat.
“Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.
Mayat bayi perempuan itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat manakala ibunya menerima rawatan lanjut di Hospital Jempol
No comments:
Post a Comment