Sudah empat tahun berkahwin tetapi hingga hari ini, kami belum dikurniakan cahaya mata. Saya ingin bertanya, apakah ada suplemen yang sesuai diambil untuk menambah sperma? Saya ada membaca artikel yang menyebut masalah kekurangan sperma berpunca apabila seseorang kekurangan zink. Apakah ini benar? Apakah tindakan yang perlu saya lakukan? Ada juga rakan-rakan yang menasihatkan saya mengambil rawatan kampung seperti berurut dan mencuba rawatan herba. Persoalannya, adakah kaedah ini membantu untuk meningkatkan jumlah sperma saya?
- Albert, Melaka
Saudara Albert,
Terima kasih di atas soalan yang ditanya. Saya berharap saudara telah pun menjalani pemeriksaan infertiliti (masalah kemandulan) kerana perkahwinan empat tahun tanpa cahayamata adalah satu perkara yang perlu mendapat perhatian saudara dan isteri untuk mendapatkan rawatan. Telah terbukti bahawa masalah infertiliti akan memberi kesan negatif kepada hubungan pasangan tersebut.
Di antara penyiasatan awal yang perlu dilakukan oleh saudara ialah menjalani pemeriksaan air mani. Seterusnya doktor akan merawat saudara jika penyiasatan menunjukkan saudara tidak ada atau kurang kualiti atau kuantiti sperma. Seeloknya saudara berbincang terus dengan doktor yang merawat untuk tindakan seterusnya.
Berkenaan suplemen bagi menambahkan sperma, saya kurang pasti tetapi beberapa kajian herba contohnya Tribulus territeris (Tribestan) dan Tongkat Ali yang digunakan dalam tiga hingga enam bulan ada memberi kesan yang positif keatas jumlah kuantiti sperma. Walaubagaimanapun, kesan penggunaan jangka masa yang panjang tidak diketahui.
Setakat ini, bagi pesakit-pesakit saya, kesan herba adalah sangat tidak menentu. Ada pesakit yang mendapat kesan yang cukup baik tetapi ada juga yang tidak mendapat apa-apa kesan positif. Kajian herba Tongkat Ali akan terus dijalankan untuk memberi kepastian terhadap kesan ke atas air mani seseorang sebelum kita mengetahui dos dan jangkamasa yang sesuai sebelum mendapat kesan positif. Walaubagaimanapun, sila pastikan mendapat nasihat doktor sebelum menggunakan sesuatu ubat atau herba terutamanya sekarang terlalu banyak ubat dan suplemen yang terjual dipasaran.
Pada pandangan peribadi saya, jika benar pun masalah kekurangan zink boleh menyebabkan kekurangan sperma, saya tidak akan menasihatkan pesakit saya untuk mengambil suplemen tertentu. Ia mencukupi jika kita mengamalkan pemakanan seimbangan. Selain dari itu cara hidup sihat perlu diamalkan. Amalan merokok telah dibuktikan menyebabkan kualiti sperma menjadi tidak elok.
Saya juga tidak akan menasihatkan pesakit saya untuk berurut bagi mengatasi masalah ini. Tiada bukti menunjukkan urutan badan dan ke zakar atau buah zakar memberi kesan keatas pertambahan kualiti dan kuantiti sperma. Selamat berjaya menimang cahayamata
No comments:
Post a Comment