Perkahwinan selalunya membawa berkat. Andainya perkahwinan membawa petaka, ia bukanlah disebabkan oleh perkahwinan itu sendiri. Tetapi kerana kegagalan mereka yang berada dalam alam perkahwinan berkenaan berperanan hingga bertukar menjadi suatu episod yang mendukacitakan.
Realitinya, seseorang yang tiada berharta apabila berkahwin akan berhartalah dia. Jarang kita lihat sebuah keluarga itu hidup dalam penuh kedaifan, kecuali sedikit. Selebihnya adalah mereka yang dapat menghimpun kebahagiaan dalam pelbagai bentuk.
Daripada langsung tiada berharta mula memiliki kereta, rumah, tanah, perniagaan dan lain-lain. Andainya sesuatu perkahwinan itu langsung tidak dapat diterjemahkan pada pertambahan harta, ia kesilapan mereka yang memacu perkahwinan itu hingga ia kelihatan ‘celaka’. Hakikat sebenarnya, perkahwinan sentiasa membawa keberkatan bersama-samanya.
Bukan mudah hendak membuat keputusan menerima pinangan seorang lelaki yang cacat, usianya pula agak lanjut iaitu 30-an. Sebagai pesara tentera, memanglah ada pencen namun tidaklah banyak mana andainya pangkat yang disandang sewaktu berkhidmat tidak besar.
“Anak saya ni tak adalah apa-apa, sekadar pencen askar,” kata bapa kepada bekas pesara tentera ini ketika merisik. Dijawab oleh bakal besannya, “Tak mengapa. Kami dulu pun waktu berkahwin tak ada apa-apa.” Sememangnya pada awal perkahwinan, kehidupan sangat susah. Maklumlah seorang yang cacat memang susah mendapat pekerjaan.
Suatu hari, sewaktu bekerja memandu lori, berlakulah satu kemalangan ngeri. Kemalangan ini menyebabkan cedera parah hingga hampir kakinya putus. Itu kisah beberapa tahun dahulu, sekarang keadaan sudah amat jauh berubah. Sekarang, bukan sahaja memiliki rumah besar, tanah yang banyak lagi luas bahkan menjadi pemimpin pada masyarakat.
Memang tidak masuk akal seorang yang cacat tanpa pekerjaan dapat membina kekayaan tetapi begitulah janji ALLAH pada perkahwinan. Andainya jujur keberkatan pasti datang.
Kisah benar sepupu saya ini adalah salah satu daripada begitu banyak kisah kejayaan orang berkahwin yang sampai kepada saya. Bukan setakat cerita, malah saya sendiri dibawa melihat pasangan-pasangan bahagia ini meskipun mereka cacat, tiada rupa dan lain-lain kekurangan sebelumnya. Paling tidak, meskipun masih tinggal di rumah daif, anak-anak mereka sedang berada di universiti.
Tidak lama lagi, kehidupan mereka akan berubah apabila pengajian tamat dan pekerjaan yang berpendapatan lumayan mula diperoleh.
Sememangnya perkahwinan adalah detik membina kekayaan. Sewaktu bujang tiada langsung sekaki tanah, setelah berkahwin dapat pula memiliki berelung-relung tanah di tempat-tempat strategik. Rasulullah saw bersabda, “ALLAH memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.”
Apa petuanya supaya perkahwinan kita berkat? Jangan sampai menyalahkan takdir di saat menghadapi kemiskinan atau kesusahan hidup. Tapi hendaklah terus berikhtiar, berusaha, berdoa dan bertawakal.
Rezeki dan kemewahan datangnya daripada ALLAH SWT. Setiap manusia dituntut untuk berusaha mengubah nasibnya. Keberkatan akan datang kepada orang yang jujur lagi ikhlas.
Usah rakus dan tamak hingga mencetuskan permusuhan dan perbalahan, dengki-mendengki dalam pencarian harta berkenaan.
Sebaliknya hendaklah bersikap sederhana dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan ALLAH sama ada banyak ataupun sedikit. Kesabaran dan keredhaan di situlah nanti datangnya berkat
No comments:
Post a Comment