JOHOR BAHRU: Seorang bapa tidak menyangka seorang lelaki berusia 34 tahun yang amat dikenalinya sanggup bertindak di luar batasan apabila melarikan anak gadisnya berusia 15 tahun sejak hampir dua minggu lalu.
Bapa pelajar perempuan tingkatan tiga itu, P Sivakumar, 39, berkata, dia tidak menyangka lelaki yang mesra dengan gelaran Samy atau SP itu menjalin cinta dengan anak gadisnya yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu.
Menurutnya, perkara itu disedarinya pada 18 Mei lalu apabila dia mahu mengambil anaknya dari sekolah tetapi mendapati anaknya, Jennifer, tiada di kawasan sekolah sebelum dimaklumkan anaknya itu ponteng pada hari berkenaan.
“Kami terkilan apabila rakan Jennifer memaklumkan anak kami ke Kuala Lumpur bersama Samy yang dipercayai mengambilnya dari kawasan berhampiran di Sekolah Menengah Ulu Tiram di sini.
“Disebabkan bimbang keselamatan Jennifer, kami cuba mencarinya dan Samy serta cuba menghubungi telefon bimbit mereka berdua, namun gagal.
“Kami yang tiada pilihan lain membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram pada hari kejadian,” katanya dengan nada sebak.
Sivakumar berkata, sebelum kejadian, Jennifer tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya kerap berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan lelaki itu sebelum dia dan isteri menegurnya. Menurutnya, keluarganya tidak sangka Jennifer sanggup mengikut lelaki berkenaan memandangkan mereka sekeluarga tidak pernah berjauhan atau terpisah selama ini. “Setahu kami, Jennifer memanggil Samy dengan gelaran ‘abang’ dan hanya menjalin hubungan seperti adik-beradik apabila lelaki itu juga hanya mengunjungi kami beberapa kali sejak bertemunya semula, April lalu.
“Kami juga terkejut apabila ada pengamal perubatan tradisional menyatakan lelaki terbabit yang berkulit cerah menggunakan ilmu hitam untuk menggoda dan memujuk Jennifer mengikut kehendaknya,” katanya.
“Kami semakin bimbang hingga terpaksa bercuti untuk mengesan Jennifer sebelum sebarang kejadian tidak diingini menimpanya,” katanya.
Justeru, Sivakumar berkata, dia berharap orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan yang berasal dari Jalan Asah, Larkin di sini atau melihat anaknya segera menghubungi balai polis berhampiran.
"Saya merayu kepada Jennifer supaya pulang ke rumah kerana kesihatan isteri, R Meenachi, 30, terjejas sejak kehilangannya.
“Saya berharap individu yang mempunyai maklumat berkaitan Jennifer hubungi kami di talian 017-7902897 atau 012-7422102,” katanya.
No comments:
Post a Comment