KAMPAR: “Shahir bukan kena buatan orang, kanser hati jauh sekali. Dia bukan merajuk pada Rozita, tetapi dia hanya mahu berehat tanpa diganggu buat masa ini,” jelas ibu kepada juara Akademi Fantasia Kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi, 22, Mahanom Osman, 45, ketika ditemui wartawan di rumahnya di sini, semalam.
Dia yang tenang menyambut kedatangan wartawan di rumahnya berkata, pelbagai spekulasi berhubung kehilangan Shahir yang dihebahkan media sejak kebelakangan ini didakwanya boleh mengeruhkan keadaan.
“Memang Shahir ada di kampung sekarang untuk berehat kerana kepenatan...berilah dia masa. Makcik tahu ramai peminatnya yang tertanya-tanya keadaannya kini.
“Alhamdulillah...apa yang boleh makcik katakan adalah Shahir dalam keadaan baik. Dia belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan lagi,” katanya penuh lembut.
Ketika ditanya sama ada Shahir pulang ke kampung kerana sakit, Mahanom sebaliknya memberitahu Shahir sekadar ingin berehat dan menenangkan fikiran.
“Makcik dan suami, Zawawi Abdullah, 54, cuba memahami keadaannya dan akan sentiasa memberi sokongan kepada Shahir,” katanya.
Mahanom berkata, kepulangan Shahir untuk berada di sisi keluarga juga bukan disebabkan ‘patah hati’ seperti digembar-gemburkan berikutan anaknya itu dan pelakon Rozita tiada apa-apa hubungan istimewa melainkan kawan biasa sesama artis. Kehilangan Shahir sejak lebih seminggu lalu mencetuskan tanda tanya apabila syarikat pengurusannya gagal menghubungi penyanyi yang popular dengan lagu ‘Kebahagiaan Dalam Perpisahan’ itu.
Malah, Rozita yang sebelum ini rapat dengan penyanyi terbabit mengeluarkan kenyataan `panas’ apabila tidak mahu lagi dikaitkan lagi tentang hubungan dengan Shahir.
No comments:
Post a Comment