IPOH: Pujukan cinta teman lelaki yang baru berusia 15 tahun dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan Orang Asli melarikan diri dari rumah sejak empat hari lalu.
Ibunya, Yusnita Yunus, 35, berkata anaknya yang belajar di tingkatan dua, Khong Yin Yin, 14, berkenalan dengan remaja lelaki berkenaan melalui laman sosial facebook sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, Yin Yin hanya disedari hilang antara jam 1 pagi hingga jam 4.30 pagi, Isnin lalu. Yusnita yang tinggal di Persiaran Lembah Perpaduan Lembah Lake View, Ulu Kinta, dekat sini, berkata, anak sulungnya itu tidak pernah meninggalkan rumah rumah tanpa pengetahuan keluarga sebelum ini.
Menurutnya, dia terlalu risau berhubung kehilangan anaknya itu yang dianggap terlalu muda dan mudah diperdaya.
“Saya tidak tahu punca Yin Yin meninggalkan rumah tetapi ada meninggikan suara kepadanya kerana dia pulang lewat.
“Selama ini, Yin Yin tidak pernah berperangai sedemikian apatah lagi meninggalkan rumah lebih daripada sehari,” katanya.
Menurutnya, selain ke sekolah, anaknya itu hanya menghabiskan masa bersama rakan atau ke rumah keluarga angkatnya berhampiran.
Yusnita yang berketurunan Orang Asli suku Semai dan berkahwin dengan lelaki berketurunan Cina hanya menyedari kehilangan anaknya itu pagi Isnin lalu apabila mahu mengejutkan Yin Yin untuk ke sekolah.
“Saya berulang kali berusaha menghubunginya dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) namun tiada jawapan dan bimbang keselamatannya, apatah lagi Yin Yin masih terlalu muda untuk menghadapi dunia luar. “Saya mengesyaki dia mengikut teman lelakinya namun tidak tahu identiti lelaki berkenaan dan berusaha menghubungi lelaki yang dipercayai berasal dari Parit itu, tetapi tiada balasan,” katanya.
Dia mendakwa pernah ditunjukkan gambar lelaki itu oleh anak saudaranya yang mengetahui hubungan rapat Yin Yin dengan remaja lelaki berkenaan.
“Saya tidak membenarkan anak menggunakan telefon bimbit tetapi teman lelakinya itu membelikan telefon bimbit tanpa pengetahuan saya dan suami,” katanya.
Dia yang membuat laporan di Balai Polis Tambun, di sini, pada hari Yin Yin hilang, yakin anaknya itu masih berada sekitar Ipoh atau daerah berdekatan kerana Yin Yin tidak membawa kad pengenalan dan wang ketika keluar rumah
No comments:
Post a Comment