KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dirakam aksinya melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel ketika dalam tahanan polis yang tersebar lima tahun lalu, akhirnya bersetuju menyelesaikan tuntutan samannya di luar mahkamah.
Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam. Bagaimanapun jumlah ganti rugi tidak didedahkan. Hemy Hamisa Abu Hasan Saari, 28, seorang suri rumah menamakan Konstabel Mohd Dzulfatah Saari sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua apabila klip video insiden itu yang dirakam curi, tersebar.
Dia diwakili peguam Datuk Baljit Singh Sindhu dan Hazizah Kassim manakala defendan pertama diwakili Mohamad Kamarulzaman Yusuf dan defendan kedua diwakili Nor Mastura Ayob. Bagaimanapun, Hemy Hamisa yang mempunyai tiga anak tidak hadir ke mahkamah, semalam. Ketika ditemui di luar mahkamah, Baljit memberitahu media anak guamnya menanggung kesengsaraan, trauma serta mengalami tekanan sejak video itu tersebar.
Plaintif tiga kali berpindah kerana malu dengan masyarakat sekeliling. “Plaintif mengharungi trauma selepas insiden itu dan kesannya terus kekal dalam hidupnya. “Selepas beberapa perbincangan dibuat antara peguam plaintif dan peguam defendan, plaintif bersetuju menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah dengan jumlah ganti rugi yang tidak boleh didedahkan,” katanya. Baljit berkata, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menetapkan 8 Ogos untuk membuat keputusan terhadap Hemy Hamisa yang didakwa memiliki dadah bersama lima orang yang lain.
Pada 29 Ogos 2006, plaintif mengemukakan tuntutan saman itu kerana mendakwa rakaman aksinya itu akibat perbuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang enggan, gagal atau cuai memastikan keselamatan dan hak peribadinya sebagai orang yang kena tangkap tidak dicerobohi.
Selain ganti rugi am lebih RM250,000, plaintif menuntut ganti rugi teladan, kos dan lain-lain relif.
Dalam pernyataan tuntutan, Hemy Hamisa selaku plaintif menyatakan dia ditangkap anggota polis antara jam 1 dan 2 pagi, 29 Jun 2005 atas dakwaan terbabit penyalahgunaan dadah.
Selepas ditangkap, katanya, dia dibawa ke Balai Polis Damansara Utama sebelum dipindahkan ke Balai Polis Petaling Jaya.
Di balai polis itu, dakwanya, dia diarahkan Lans Koperal Wan Zawati @ Zalina Wan Ismail untuk menanggalkan keseluruhan pakaiannya dan melakukan ketuk-ketampi.
Dia mematuhi arahan itu kerana mempercayai ia adalah perintah yang sah daripada pegawai awam
No comments:
Post a Comment