Tolong Klik kat iklan Nuffnang Tanda sokongan anda

visit me

Click Here To Show Yr Support

Berita Panas Je !!!!!!!

14 July, 2011

Jul 14, 2011 - Insaf Selepas Berzina Dengan 3 Teman Lelaki

Kesilapan datang dan pergi dalam kehidupan manusia. Ada yang menjadikan kesilapan sebagai satu cara untuk muhasabah diri dan seterusnya menjadi umat lebih baik di sisi Allah S.W.T. Namun ada juga yang terus menerus dengan melakukan kesilapan yang sama. Minggu ini kita berkongsi kisah luahan hati seorang gadis penuntut universiti tentang rahsia hidupnya. Dahulu, dia pernah melakukan kesilapan namun kini dia sudah bertaubat. Semoga kisahnya menjadi tauladan kepada pembaca di luar sana.
S : Saya seorang gadis berusia awal 20-an dan masih menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi. Sepanjang menjalani kehidupan sebagai remaja, pelbagai pengalaman saya lalui termasuk suka dan dukanya dan ia lumrah kehidupan. Kini dalam mencecah angka awal 20-an, sememangnya ia sangat menduga saya dalam melalui kehidupan getir.
Untuk pengetahuan kaunselor, saya menulis segala catatan hidup saya di dalam 64diari dan kini mempunyai lebih dari 10 buah diari yang saya tulis saban tahun sejak dulu lagi. Tujuan saya menulis diari adalah untuk pengabaian dan kenangan kepada diri sendiri.
Kini saya teramat kesal kerana tidak menyangka segala rahsia peribadi yang saya simpan erat di dalam diari diketahui oleh kedua ibu bapa. Memang benar sebagai seorang anak, kita tidak boleh menyimpan rasa dan rahsia terhadap ibu bapa. Akan tetapi tujuan saya menyimpannya sendiri hanyalah untuk menjaga hati mereka.
Ketika bersekolah dahulu, saya sebenarnya mempunyai seorang teman lelaki dan menjalin cinta selama dua tahun bersamanya. Dia merupakan cinta pertama dan segalanya terasa indah bila bersama. Namun ia berakhir dua tahun kemudian apabila segala yang dibina dikhianatinya. Sebaik habis sekolah, saya mengenali seorang jejaka yang saya fikir mampu membahagiakan saya.
Hari demi hari rasa cinta mulai bertambah dan hubungan kami bertambah rapat. Lantas kami bergelar pasangan kekasih. Segalanya juga indah bersama sehinggalah
suatu hari saya mengenali teman rapatnya. Meskipun hubungan ini terjalin hampir tiga tahun, namun saya goyah atas kebaikan sahabat baiknya. Bukan niat mengkhianati sesiapa. Tapi soal hati tidak boleh dipaksa.
Kehadiran saya ternyata memusnahkan persahabatan mereka sekian lama. Ini kerana sahabat baik kekasih saya punya akhlak yang menarik perhatian saya. Dia tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap agama kecuali dalam satu perkara.
Namun sepanjang mengenali cinta, semuanya berkesudahan dengan cerita yang sama. Diringkaskan, saya pernah terlanjur dengan ketiga-tiga mereka. Namun, setelah pelbagai musibah menimpa diri, saya mula bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah.
Segala rahsia ini diketahui terbongkar apabila suatu pagi saya menerima panggilan dari kekasih pertama mengatakan bahawa ibu bapanya bertanyakan keterlanjuran kami. Lantas dia mengajak saya berkahwin untuk menutup segala cerita dan demi menjaga nama baik keluarga. Sehingga kini saya masih belum memberi jawapan atas persoalan tersebut. Apa yang dapat saya simpulkan ialah kedua ibu bapa saya mengetahui segalanya kisah saya secara mendalam tentang kekasih pertama sahaja melalui diari kerana kisah dia sahaja yang banyak saya tulis.
Kedua-dua pihak ibu bapa saling mengenali malah bapa saya dan bapanya pernah menjadi rakan sekerja. Manakala antara saya dan kedua ibu bapa saya tidak pernah bercakap mengenai hal ini.
Saya tahu mereka mendiamkan semua ini atas alasan tidak mahu pelajaran saya terganggu Apabila semua memendamkan perasaan, ia menambah kebukuan di hati. Saya menunggu masa yang sesuai untuk berbincang mengenai hal ini bersama ibu bapa.
Jadi dalam situasi sebegini wajarkah saya berkahwin dengan cinta pertama tadi? Dan apakah hukumnya jika perkahwinan ini diteruskan? Inilah persoalan utama yang sering bermain di fikiran kini. Saya tidak lagi mahu melakukan dosa dan nekad hati telah bertaubat untuk tidak lagi mengulangi kesilapan lalu. Bantulah saya.

Assalamualaikum WRT,
Manusia dijadikan dengan penuh kelemahan dan kekurangan dari pelbagai aspek kehidupan. Ini menggambarkan bahawa manusia sangat memerlukan sokongan dan perhatian serta kawalan agar hidup mereka terpandu untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan mereka.
Kesalahan manusia yang pertama telah diceritakan dalam al Quran bahawa Nabi Adam sendiri telah melakukan kesalahan dengan mengingkari perintah Allah S.W.T lalu beliau diturunkan ke dunia untuk menjadi khalifah di bumi ini.
Kesalahan disebabkan desakan Hawa yang menggunakan kelembutan dan tarikan diri sehingga Nabi Adam terleka dan melakukan kesalahan serta melanggar perintah Allah SWT.
Dalam kehidupan masa kini pula sering kali kita lihat manusia juga tidak lekang dari melakukan kesalahan dan melanggar perintah Allah S.W.T, namun walau sebesar mana kesalahan pun akan diampunkan oleh Allah sekiranya manusia tadi benar-benar bertaubat dan tidak mengulangi semula dosa dan kesalahannya.
Atas kelemahan manusia sebagai kejadian Allah S.W.T inilah maka Dia meletakkan hukum dan peraturan agar manusia terarah untuk melalui kehidupan ini sekiranya mereka berpandukan kepada al Quran dan hadis.
Kisah yang dipaparkan menunjukkan cik telah terlanjur seawal umur 15 tahun lagi dan mengulangi beberapa kali dengan berapa teman lelaki yang akhirnya telah disingkap rahsia ini setelah cik berada di menara gading. Hasilnya cik telah diminta berkahwin dengan teman lelaki yang mula-mula cik berzina dan cik dihantui rasa bersalah kerana bukan seorang teman lelaki yang cik terlanjur.
Sebelum cik membuat keputusan untuk berkahwin atau tidak dengan teman lelaki pertama cik, mungkin kita boleh fahami kenapa manusia rasa bersalah. Ahli psikologi mengatakan bahawa rasa bersalah lahir apabila apa yang diharapkan atau difikirkan tidak selari dengan realiti yang terjadi.
Rasa bersalah ini akan wujud mengikut penerimaan cik kepada perkara yang cik tidak jangka akan berlaku dan rasa bersalah juga ada kaitannya dengan iman seseorang terhadap Allah S.W.T.
Apa yang diceritakan menunjukkan bahawa cik berzina dengan tiga orang teman lelaki, namun cik takut untuk menghadapi risiko selepas berzina dan tidak mahu mengulanginya lagi kerana telah sedar akan kesalahan tersebut. Keadaan ini menyebabkan cik rasa serba salah kerana hanya lelaki pertama telah dikesan oleh ibu bapa dan jika cik berkahwin perlukah berterus terang dengan semua orang tentang apa yang berlaku.
Dalam kebuntuan ini cik perlu tahu tentang matlamat cik menjalinkan hubungan dengan setiap teman lelaki. Jika jalinan itu hanya untuk keseronokan dan seks maka cik telah mencapai matlamat itu walaupun cik tidak berkahwin dan melakukannya dalam keadaan dosa. Jika cik katakan bahawa usia yang terlalu muda pada masa itu, cik telah mengulanginya dengan teman lelaki kedua dan ketiga dalam keadaan tahu bahawa perkara itu haram dan berdosa.
Oleh itu cik perlu tahu matlamat perhubungan antara lelaki dan perempuan yang layak berkahwin adalah untuk berkahwin secara sah dan dengan segera agar terhindar dari zina serta perhubungan ini bukan “lapangan untuk mencuba”.
Cik perlu bersyukur kerana cik telah diberikan sinar keinsafan untuk keluar dari perbuatan dosa ini maka perbetulkan matlamat cik dengan meletakkan hubungan dan perkahwinan ini sebagai jalan membawa rezeki dan pahala bukan perhubungan yang berasaskan dosa dan kekesalan.
Cik juga perlu belajar untuk melupakan perkara yang lepas dan mengawal rahsia diri agar aib cik terpelihara. Jika rahsia banyak diletakkan dalam diari sebenarnya ia bukan rahsia lagi kerana tidak ada jaminan bahawa diari cik tidak dibaca orang lain.
Oleh itu cik perlu cuba untuk mengubahsuai hobi cik yang menulis perkara rahsia dalam diari kepada menulis perkara yang boleh dikongsi bersama orang lain. Rasulullah S.A.W sendiri mengajar umatnya untuk tidak mempamerkan dosa atau aib di depan orang ramai sebaliknya mohonlah ampun dengan Allah S.W.T dengan sebenar-benar taubat. Jika ada kaitan dengan manusia maka mohon maaf dengan manusia juga.
Jika cik sudah bersedia untuk berkahwin maka cik perlu melupakan perkara dan dosa yang lalu dan menumpukan sepenuh kehidupan kepada keluarga yang dibina.
Tidak perlu dihebahkan atau dibuat pengakuan terhadap apa yang berlaku pada masa silam cik sebaliknya buka buku baru dalam kehidupan cik dengan meninggalkan dosa dan noda masa lalu. Yakinlah bahawa Allah S.W.T akan mengampunkan hamba-Nya yang benar-benar insaf dan memohon keampunan.
Berbincang dengan baik bersama keluarga dan jadilah wanita solehah yang sangat bijaksana dalam mengatur kehidupan. Wanita yang solehah dan bijaksana tidak mudah terpedaya dengan pujukan lelaki dan mereka tahu apa yang halal dan haram, tahu apa yang menguntungkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat.
Ahli psikologi juga mengatakan bahawa manusia akan bermasalah jika asyik “recall” atau mengingat semula masa lalu. Oleh itu cik perlu bergerak ke hadapan dan lupakan kejadian hitam semalam. Fikirkan kerjaya dan masa dengan cik yang belum pasti.
Tidak perlu bazirkan masa dan umur muda cik untuk menyesali apa yang berlaku kerana yang sudah berlaku pasti sudah berlaku. Fikirkan bagaimana cik nak menghadapi masa depan cik dengan penuh keyakinan dan keberkatan. Yakinlah bahawa Allah SWT maha pengampun lagi maha penyayang.
Cik yang dimuliakan,
Dalam kekaburan ini cik perlu bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga cik kerana ingin membantu cik keluar dari noda dan dosa ini. Yakinlah dengan pilihan cik dan lahirkan rasa bertanggungjawab kepada perkahwinan ini.
Faktor usia dan kematangan cik dalam membuat keputusan untuk berzina pada masa lalu tidak perlu dikesalkan dan jadilah pengajaran dan sempadan dalam kehidupan cik . Sebagai manusia yang baru keluar dari kesilapan lalu berhak untuk bahagia dan insaf serta melalui hidup ini dengan penuh keberkatan daripada Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...