BUKIT JALIL: Selepas lima minggu bersiaran, program realiti Mari Menari musim kedua mencapai kemuncaknya apabila pasangan Sarah dinobatkan sebagai juara pada program yang berlangsung di Studio 1, Astro di sini, malam tadi.
Kejayaan pasangan dari kumpulan Ray itu sememangnya sudah dijangka berdasarkan persembahan konsisten setiap minggu serta kedudukan undian tertinggi yang diperoleh sebaik tamat persembahan pada malam sebelumnya. Sistem undian berpandukan pada 100 peratus hasil undian penonton menerusi SMS meletakkan pasangan Sarah Diana Michele Durai dan Shazrul Hudson Ashley Durai sebagai pemenang dengan undian sebanyak 56 peratus.
Pada acara kemuncak yang berlangsung malam tadi setiap peserta dikehendaki menarikan tarian Bollywood, Latin dan Battle (Fusion Dance). Pasangan dari Sabah itu yang menampilkan jurureka tari Alif membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000, pakej penerbangan MUSTWIN Sdn Bhd beserta pakej percutian 4 hari 3 malam di Hard Rock Bali dan Trofi Mari Menari. Sementara pasangan Nita yang mendapat 44 peratus menyusul di tempat kedua dan mendapat hadiah pakej penerbangan MUSTWIN Sdn Bhd serta pakej percutian 4 hari 3 malam di Hard Rock Bali selain Trofi Mari Menari.
Barisan juri profesional yang terbabit dalam Mari Menari musim kedua ialah Joseph Gonzalez, Harith Iskander dan Vanidah Imran. Manakala juri undangan pada malam sebelumnya (16 Julai) ialah Hans Isaac dan malam kemuncak ialah Sofea Jane.
Selain mereka, program Mari Menari musim kedua turut menampilkan lapan lagi peserta iaitu pasangan Faiz, Mizi, Azlin, Bibi, Ummi, Nora, Razman dan Wan. Kemuncak MM terbitan Mohd Noor Firdaus Mahadi dan Norzeha Mohd Salleh bersiaran secara langsung serentak di Astro Ria (Saluran 104) dan saluran khas definisi tinggi (Saluran 188) pada jam 9 malam. Norazian Mohd Zahir bertindak sebagai penerbit eksekutif, manakala Awal Ashaari dan Lisa Surihani tampil sebagai pengacara.
No comments:
Post a Comment