ALOR SETAR: Bukan saja rumah tangganya hancur dan anak-anak terpisah, wang simpanan isteri berjumlah hampir RM1 juta habis disapu selain dia turut menerima ugutan bunuh.
Itulah nasib seorang ahli perniagaan bergelaran Datuk yang dikenali sebagai Badrul, 58, (bukan nama sebenar), di sini, yang menjadi mangsa tamak ibu mentuanya sendiri yang sanggup berbuat demikian semata-mata kerana tamakkan harta sejak awal 2009 lalu.
Badrul ketika ditemui berkata, ibu mentuanya yang berusia 50-an itu sanggup memperalatkan anak perempuannya sendiri yang berusia 37 tahun yang juga isteri Badrul dengan memaksanya mengambil dadah jenis syabu sebelum mengarahkan anaknya itu supaya mengeluarkan wang simpanan ketika dia dalam keadaan khayal.
“Wang simpanan untuk isteri dan anak-anak berjumlah kira-kira RM700,000 habis disapunya. Selain itu, wang simpanan daripada tiga akaun simpanan milik anak-anak saya berjumlah lebih RM100,000 turut dilarikan.
“Bukan itu saja, dua buah kereta milik saya iaitu Proton Iswara dan Proton Perdana serta barangan rumah seperti pinggan mangkuk, langsir dan televisyen turut dilarikan,” katanya.
Badrul berkata, kejadian itu bermula awal 2009 lalu apabila ibu mentuanya yang berasal dari Kuala Lumpur ke rumahnya di Hutan Kampung, di sini, dengan alasan untuk bertemu anak dan cucunya selain memberi alasan mengalami tekanan.
Katanya, dua bulan kemudian, ibunya membawa seorang lagi anak perempuannya berusia lewat 30-an yang juga kakak ipar Badrul ke rumah itu dan wanita berkenaan dipercayai turut bersekongkol dengan ibunya melakukan kegiatan itu.
“Sebagai menantu, sudah tentulah saya tidak menghalang. Namun, tanpa saya sedari, dia sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu dan paling saya tidak boleh terima ialah dia sanggup memberikan dadah kepada isteri saya,” katanya.
Badrul berkata, wang simpanan yang dimasukkan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 setiap bulan ke dalam akaun simpanan isterinya adalah untuk kegunaan wanita itu bersama tiga anak lelaki mereka yang berusia 12, tujuh dan enam tahun.
Katanya, perkara itu mula dikesan apabila isterinya menghilangkan diri bersama tiga anak mereka itu dipercayai mengikut ibunya ke Kuala Lumpur pada Oktober 2009.
“Ketika itu barulah saya tahu wang dalam akaun simpanan isteri dan anak-anak sudah lesap. Sekupang (10 sen) pun dia tak tinggal. Saya kemudian membuat semakan di bank dan mendapati wang itu dikeluarkan dalam tempoh 30 Mac 2009 hingga 24 November 2009. Sebanyak 18 transaksi dilakukan dengan jumlah pengeluaran di antara RM3,000 hingga RM10,000,” katanya.
Badrul berkata, hampir sebulan melarikan diri, isterinya kembali ke Alor Setar, namun sekali lagi melarikan diri pada 14 November 2009 bersama tiga anak mereka, bagaimanapun selepas beberapa hari isterinya kembali semula.
Menurutnya, pada 27 November 2009, isterinya sekali lagi bertindak melarikan diri, tetapi menyuruh seorang adik lelakinya menghantar pulang dua anak mereka berusia 12 dan tujuh tahun. “Selepas itu sehingga hari ini, dia bersama anak bongsu kami masih tidak pulang. Namun, dia kerap menghubungi saya untuk meminta wang dengan alasan untuk kegunaan anak, tetapi tidak mahu beritahu dia tinggal di mana. Namun, saya tahu dia bersama ibunya dan mereka ini kerap berpindah randah," katanya.
Badrul berkata, ibu mentuanya pernah menghubunginya sambil marah-marah dan bertanya mengapa dia tidak kirimkan wang tunai dan mengugut akan menyerahkan anak bongsunya itu kepada orang lain sekiranya dia tidak menghantar wang.
“Kerana masih sayangkan isteri dan bimbangkan keselamatan anak, saya tetap mengirimkan wang kepada mereka. Saya percaya, ibu mentua saya adalah dalang kepada semua ini termasuk menghasut isteri saya supaya meninggalkan saya.
“Isteri saya juga dikongkong ibunya sehingga dia tidak boleh ke mana-mana dan diperalatkan semata-mata untuk kepentingan ibunya,” katanya.
Badrul berkata, dia difahamkan isterinya kini bekerja di sebuah kelab malam di Ampang, Selangor dan dipercayai sudah mempunyai teman lelaki lain.
Katanya, dia percaya semua itu diaturkan ibu mentuanya, malah dia pernah diugut bunuh oleh teman lelaki isterinya baru-baru ini sekiranya dia datang ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang wanita itu.
“Sejak berkahwin dengannya pada 1998, kami tidak ada masalah sehinggalah ibu mentua saya tinggal bersama pada awal 2009. Isteri saya sebelum itu seorang isteri yang taat serta menjaga kehormatannya termasuk berpakaian menutup aurat. Tetapi sekarang penampilannya berubah sama sekali termasuk mengambil dadah dan ini semua adalah kerja terkutuk ibunya sendiri,” katanya.
Badrul berkata, sejak 2009 dia sudah membuat enam laporan polis di sini dan Kuala Lumpur berhubung kejadian itu.
No comments:
Post a Comment