KUALA LUMPUR: “Saya dimaklumkan, Gee yang tinggalkan peket dadah itu di rak buku,” kata pelakon Benjy di Mahkamah Majistret di sini, semalam, pada hari pertama dia membela diri atas pertuduhan memiliki syabu di Apartmen Menara Duta 2, pada Mac tahun lalu
Menurut Benjy, dia hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan bekas pembantu peribadinya, Afifi Hamid, 25, pada malam dia bersama wanita itu ditahan polis.
Terdahulu, Benjy memberitahu mahkamah pada malam 10 Mac 2011, dia pergi memancing di kolam yang terletak di Desa Aman, Kepong sebelum Afifi datang mengambilnya kira-kira jam 12 tengah malam untuk memancing di kolam Kampung Delek, Klang.
Katanya, dalam perjalanan menuju ke Kampung Delek, Afifi memberitahu, seorang rakan yang turut dikenali dengan nama Noor Azizi (Gee) ada datang ke rumah pada jam 10 malam untuk bertemu dengannya.
“Saya tiada di rumah, tetapi Gee menunggu saya di ruang tamu. Afifi menceritakan, ketika itu dia ternampak Gee menghisap ‘ice’ (syabu) dan kemudian meletakkan peaket dadah itu di atas rak buku sebelum beredar meninggalkan rumah.
“Selepas mendengar cerita Afifi, saya tidak berpuas hati dengan tindakan Gee dan mengarahkan Afifi membuang dadah berkenaan selepas kami pulang dari memancing ke Menara Duta 2,” katanya.
Bagaimanapun, Benjy berkata, Afifi tidak berbuat demikian dan wanita itu memaklumkan dadah berkenaan masih di situ selepas mereka ditahan polis di Menara Duta 2. “Perkara itu diberitahu ketika kami dibawa masuk ke dalam kereta untuk kembali semula ke Menara Duta 2 selepas pemeriksaan polis di Apartmen Vista Mutiara, Kepong selesai.
“Dalam perjalanan ke Menara Duta 2, Afifi sekali lagi memaklumkan kedudukan dadah di rak buku berkenaan,” katanya ketika disoal peguam Amer Hamzah Arshad.
Apabila ditanya lebih lanjut berhubung kedudukan dadah itu, Benjy memberitahu buku di dalam rak itu agak renggang dan dadah itu mudah dilihat.
Mengikut pertuduhan, Benjy, 33, atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim didakwa memiliki 0.24 gram syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Persimpangan Jalan Segambut di sini, pada jam 4 petang, 11 Mac tahun lalu.
Bagaimanapun, anak seniwati Azean Irdawaty itu dilepas dan dibebaskan pada 8 Julai lalu terhadap satu lagi tuduhan memiliki 0.14 gram syabu di C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini, pada jam 3 petang, hari sama.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim, Benjy menafikan keterangannya hari ini (semalam) sengaja direka-reka terutama kewujudan lelaki bernama Gee. Ketika pemeriksaan balas oleh Noor Mawarni, Afifi bersetuju dia tidak memaklumkan perkara berkenaan ketika memberikan keterangan kepada polis.
Pereka hiasan dalaman itu bagaimanapun menafikan dia memberikan keterangan semalam untuk membantu bekas majikannya.
Prosiding di hadapan Majistret Hafizza Sauni bersambung hari ini.
No comments:
Post a Comment