Dihukum kali kedua
MELAKA: Seorang pemandu bas yang sedang menjalani hukuman tiga tahun penjara kerana kesalahan menayangkan cakera padat video (VCD) lucah kepada seorang penumpang wanita warga Indonesia dihukum kali kedua iaitu penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan cuba merogol mangsa sama.
Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas tertuduh, P Kanapathy, 38, tiba-tiba menukar pengakuannya kepada bersalah selepas saksi utama pendakwaan yang juga mangsa memberi keterangan bersumpah terhadapnya.
Beliau turut menimbangkan segala fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin.
Kes berkenaan ditetapkan untuk perbicaraan, namun selepas mangsa memberi keterangan kira-kira dua jam, Kanapathy yang menyoal balas tiba-tiba memberitahu dia mahu mengaku bersalah.
Sesi soal balas ‘hangat’ apabila tertuduh mempersoalkan keterangan mangsa bahawa dia melakukan seperti didakwa, namun mangsa tetap teguh dengan keterangannya yang memperincikan setiap tindakan tertuduh yang cuba merogolnya termasuk berbogel, memeluk dan menolak tubuhnya hingga jatuh di dalam bas.
Berdasarkan pertuduhan, Kanapathy didakwa cuba merogol mangsa di dalam sebuah bas bernombor nombor pendaftaran AFC 4311 di tepi Jalan Bukit Kajang ke Tehel, kira-kira jam jam 10.45 malam, 6 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Sesyen 376/511, Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Tertuduh sebelum itu merayu diringankan hukuman atas alasan dia sudah insaf serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.
Pendakwa raya memohon hukuman berat kerana kesalahan itu amat serius dan menimbulkan trauma kepada mangsa, selain menyebabkan kaum wanita takut menaiki bas sendirian.
Katanya, kesalahan dilakukan tertuduh juga secara tidak langsung menjejaskan imej negara.
Harian Metro pada 8 Jun lalu melaporkan kejadian wanita warga Indonesia yang dalam perjalanan ke negeri ini dengan menaiki sebuah bas ekspres nyaris diperkosa pemandu terbabit di sebuah ladang sawit.
Pemandu itu dipercayai sudah merancang dari awal untuk mencari mangsa bagi memuaskan nafsunya apabila menayangkan filem lucah sebaik menyedari wanita itu menjadi penumpang terakhir perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Terminal Melaka Sentral.
Lelaki terbabit melencongkan bas dipandu ke arah laluan ke daerah itu selepas menyedari peluang untuk merogol mangsa.
Mangsa bernasib baik apabila suspek gagal meneruskan niat jahat untuk menodainya selepas dua anggota polis yang melakukan rondaan dengan kereta peronda terserempak dengan bas berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan
No comments:
Post a Comment