TAIPING: Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati senaskhah al-Quran yang disimpan dalam rumah masih dalam keadaan elok walaupun rumah kayu itu hangus terbakar, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, pemilik rumah, Siti Fauziah Abdullah, 44, dan dua anaknya tidak menyedari rumah mereka di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, di sini, terbakar mendadak dipercayai akibat litar pintas.
Siti Fauziah berkata, dia yang pulang ke rumah terkejut apabila mendapati semua perabot, perkakas rumah, pakaian termasuk buku sekolah anaknya musnah dalam kebakaran itu.
Bagaimanapun mereka sekeluarga terkejut apabila menemui naskhah al-Quran terselamat dalam kebakaran itu.
“Mungkin ini kebesaran Tuhan. Hanya kulit al-Quran itu saja terbakar manakala helaian kertas di dalamnya masih boleh dibaca,” katanya.
Menurutnya, kejadian kebakaran berlaku ketika dia sedang bekerja di sebuah kilang berhampiran rumahnya manakala anak bongsunya pergi mengaji al-Quran.
“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi adik ipar mengatakan rumah kami duduki sejak 27 tahun lalu, terbakar. Saya sangka ia gurauan sebelum mendapati ia benar-benar berlaku,” katanya.
Dia bersyukur dua anak yang baru balik dari mengaji tiada di rumah sebaliknya ke rumah ibunya berhampiran.
Anak mangsa, Wan Yusriffa Wan Hassan, 23, berkata dia yang baru pulang kerja terkejut mendapati rumahnya dijilat api.
“Saya berlari masuk ke kawasan kebakaran kerana menyangka adik saya masih berada dalam rumah tetapi dihalang dan diberitahu adik selamat,” katanya.
Sementara itu, anak bongsu mangsa, Wan Mohd Izdiham Wan Hassan, 10, berkata dia singgah ke rumah neneknya untuk melihat telefon bimbit baru yang dibeli ibu saudaranya, Norlia Abdullah, 52.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguat Kuasa Bomba, Halid Md Zin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.51 malam dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.
Menurutnya, rumah diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan pantas dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 10 malam.
No comments:
Post a Comment