PETALING JAYA: “Saya tidak akan kembali semula kepadanya walaupun dia sudah berubah, tetapi saya maafkan kesalahan dia,” kata Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, isteri pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley Salleh, 31.
Wanita itu juga menegaskan tetap mahu menuntut cerai dan mendapatkan hak penjagaan anak berusia 32 hari walaupun sebelum ini Jimmy mendakwa akan menarik balik kes nusyuz terhadapnya.
Nursuhaila mengesahkan demikian pada sidang media yang diadakan semalam untuk menjawab segala kontroversi hubungannya dengan suami termasuk yang terbaru mengenai majlis cukur jambul bayi mereka.
Ini kali pertama Nursuhaila mengadakan sidang media yang dihadiri bapanya, ahli perniagaan, Datuk Suhaimy Othman. Bagaimanapun, Suhaimy tidak memberi kenyataan kepada media.
Nursuhaila berkata, dia mengadakan sidang media selepas begitu lama bersabar dengan pelbagai kenyataan Jimmy mengenai rumah tangga mereka. Bagaimanapun, kesabaran itu hilang apabila pelakon itu menghebahkan dalam media kononnya majlis cukur jambul anak mereka dibatalkan.
“Jimmy memberitahu media majlis itu yang kononnya diadakan pada Sabtu lalu dibatalkan, tetapi sebenarnya majlis itu akan berlangsung esok (hari ini) dan itu bukan majlis Jimmy, sebaliknya abah yang rancangkan semua dan ini majlis tahunan termasuk untuk cukur jambul anak abang saya,” katanya.
Dia berkata, Jimmy tidak berhak membuat kenyataan mengenai majlis berkenaan kerana itu bukan majlis dia.
Nursuhaila berkata, bapanya sentiasa mengadakan majlis tahunan untuk rakan dan media setiap kali Ramadan dan Aidilfitri sejak lima tahun lalu.
“Kenyataan Jimmy bahawa majlis cukur jambul batal menyebabkan abah malu apabila ditanya rakan niaga sedangkan majlis itu belum berlangsung,” katanya.
Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober tahun lalu selepas berkenalan 10 bulan apabila ibu Nursuhaila menjemput pelakon dan pengacara itu memeriahkan sambutan hari jadi.
Bagaimanapun, selepas 20 hari bernikah, pasangan berkenaan tinggal berasingan dan sejak itu, pelbagai berita timbul sehingga kes dibawa ke mahkamah apabila Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat pada 3 Januari lalu.
Nursuhaila berkata, dia sudah tidak tahan dengan sikap Jimmy yang meraih simpati mengenai krisis rumah tangga mereka di media.
“Bagi saya dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan sebaiknya. Dia hanya memberikan wang nafkah kepada saya ketika saya mengandung, itu pun RM300 sebulan dan tidak cukup untuk menampung ubat dan pemeriksaan lain,” katanya.
Dia juga menegaskan, antara sebab lain dia enggan kembali kepada Jimmy ialah kerana suaminya itu sering memukul dan menampar pipinya hanya kerana pergaduhan kecil.
“Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan,” katanya.
Nursuhaila mendakwa, dia turut dikasari ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand, hanya kerana pergaduhan kecil.
“Saya mengakui saya seorang yang bersifat kasar dan sudah menjelaskan kepada Jimmy sebelum berkahwin dan dia sudi menerima saya seadanya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan sebaliknya berlaku apabila Jimmy mengasarinya menyebabkan dia tidak mampu bertahan apalagi apabila dia dikongkong dan disuruh tidur jam 9 malam dan tidak boleh melayari laman sembang sosial.
Sementara itu, Jimmy ketika dihubungi berkata, masalah yang terjadi kerana mereka tidak berkomunikasi dengan baik, tetapi menggunakan ibu mentuanya sebagai orang tengah.
“Memang saya ada menamparnya ketika di Koh Samui, tetapi selepas itu saya tidak melakukan lagi kerana dia sudah melarikan diri. Saya berjanji untuk menjaganya selepas kahwin dan dia juga berjanji kepada saya untuk berubah,” katanya.
No comments:
Post a Comment