KULIM: “Ketika berlari keluar, saya dapat melihat api mula menyambar ruang tempat kami bekerja,” kata seorang pekerja kilang pengeluar produk getah di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Sungai Karangan, dekat sini, yang musnah dalam satu kebakaran, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, kilang yang sudah beroperasi sejak 15 tahun dan mempunyai 600 pekerja itu musnah menyebabkan kerugian melebihi RM100 juta.
Pekerja yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian pekerja syif pagi baru hendak memulakan tugas sebelum diarahkan keluar dari kilang akibat kebakaran itu.
“Saya yang baru memulakan tugas tiba-tiba diarahkan rakan untuk keluar menyelamatkan diri. Ketika api mula memasuki kawasan tempat kami bekerja, kami sudah lari menerusi pintu kecemasan.
“Mujur semua pekerja dapat menyelamatkan diri dan tidak ada yang cedera atau terkorban,” katanya, semalam.
Pemilik kilang, Datuk Eng Hock Sing, 47, berkata, kejadian itu disedari beberapa pekerjanya sebelum pihak pengurusan mengarahkan mereka segera menyelamatkan diri. “Saya bersyukur apabila semua pekerja saya dapat menyelamatkan diri. Namun, kilang ini gagal di selamatkan dan kerugian dipercayai mencecah RM107 juta termasuk peralatan serta barangan yang hendak dieksport,” katanya.
Eng berkata, dia berharap kilang berkenaan dapat beroperasi kembali dalam masa enam bulan dan sekiranya bangunan itu tidak dapat digunakan, pihaknya akan berpindah ke suatu tempat lain bagi menjalankan operasi dan berharap pekerjanya bersabar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, pasukan bomba dan penyelamat termasuk pasukan Hazmat berada di kawasan kilang itu bagi memadamkan serta mengawal kebakaran itu.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr Chin Tung Leong berkata, pihaknya berasa kecewa apabila mendapati keadaan tekanan air di kawasan perindustrian itu terlalu rendah sehingga menyukarkan pasukan bomba dan penyelamat memadamkan api.
No comments:
Post a Comment