PETALING JAYA: Pelakon Razak Ahmad diperintah membela diri oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, terhadap tuduhan berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang, lima tahun lalu.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan yang diwakili Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berjaya membuktikan kes terhadap pertuduhan khalwat yang dihadapi pelakon itu.
“Selepas meneliti keterangan dan hujahan penggulungan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati ada kes terhadap tertuduh dan memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.
Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, yang hadir berseorangan kelihatan tenang mendengar keputusan mahkamah itu.
Terdahulu, Wan Mahyuddin dalam penghakimannya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap tertuduh.
Menurutnya, tiada percanggahan terhadap keterangan kelima-lima saksi pendakwaan apabila masing-masing mengesahkan ketika ditahan hanya tertuduh bersama pasangannya, Selamah Sahudin, 45, berada di dalam rumah yang terletak di Seri Kembangan di sini. Mahkamah turut berpendapat, keadaan tertuduh yang tidak berbaju ketika ditangkap anggota polis bersama seorang wanita yang bukan muhrimnya adalah perkara yang boleh mendatangkan syak dan perbuatan tidak bermoral.
Malah suami wanita itu dalam keterangannya turut membuktikan Selamah adalah isterinya bukan isteri dan mahram kepada tertuduh.
Berkenaan isu pangkat anggota polis yang membuat serbuan ke rumah itu, ia tidak seharusnya ditimbulkan oleh peguam syarie, Mohd Azman Karim yang mewakili Razak kerana tangkapan dilakukan oleh mereka yang berkelayakan berbuat demikian.
Razak memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi sebelum mahkamah menetapkan 15 September ini untuk sambung bicara.
Pada 14 September 2006, pelakon drama bersiri ‘Geng Surau’ itu tidak mengaku bersalah berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, di sini, jam 2.15 pagi pada 1 April 2006.
Bagaimanapun, Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku salah dan dikenakan denda RM2,850 atau tujuh bulan penjara.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Mengikut fakta kes, bertindak atas maklumat awam, sepasukan penguat kuasa Jais bersama beberapa anggota polis pergi ke rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
Apabila tiba di lokasi, penguat kuasa Jais mendapati pintu utama dan jeriji berkunci manakala keadaan di dalam rumah agak gelap.
Selepas mengetuk pintu selama beberapa minit dan memberi salam, pintu berkenaan kemudian dibuka seorang wanita iaitu tertuduh perempuan dengan berpakaian lengkap.
Selepas memperkenalkan diri, penguat kuasa memperkenalkan diri dan meminta izin untuk melakukan pemeriksaan.
Pemeriksaan di bilik pertama rumah berkenaan mendapati, pelakon terbabit dipercayai sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.
Soal siasat mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai hubungan suami isteri dan bukan mahram.
Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan untuk membuat laporan.
No comments:
Post a Comment