Keluarga kesal sikap sambil lewa teman lelaki
JOHOR BAHRU: Sikap sambil lewa teman lelaki Nurrahayu Qomarodin, 16, disifatkan tidak bertanggungjawab menyebabkan mangsa bukan saja dipercayai dirogol, malah dibunuh sebelum dikerat dan dibakar.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dikatakan menjerit meminta teman lelakinya itu mengambilnya semula selepas lelaki itu meninggalkannya di pondok pengawal berhampiran rumahnya di tapak pembinaan dekat pekan Seri Alam dekat sini, 18 Jun lalu. Bagaimanapun, jeritan mangsa tidak diendahkan lelaki berusia 28 tahun itu yang terus berlalu kerana menyangka Arwah dimarah atau dibelasah bapanya.
Kakak mangsa, Wayaaliasanti, 19, menyifatkan tindakan juruteknik dari Rengit itu meninggalkan Ayu di depan pondok pengawal keselamatan di tapak pembinaan pekan Seri Alam pada jam 2 pagi, sebagai tidak bertanggungjawab.
“Dia sepatutnya mementingkan keselamatan arwah, menghantar adik hingga ke rumah.
“Selain itu, mengapa dia menunggu hingga dua hari sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada keluarga, sedangkan dia boleh datang seawal mungkin memaklumkan kepada kami.
“Biarpun pemergian Ayu ketentuan Allah, namun kami terkilan dengan tindakannya yang menyebabkan Ayu mati dalam keadaan amat kejam.
“Dia mendengar jeritan Ayu ketika dipukul lelaki tidak dikenali, arwah merayu dia datang kembali dan mengambilnya tetapi kenapa dia tidak berpatah balik,” katanya.
Petunjuk dalam mimpi
Oleh Mohamad Fahd Rahmat dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: “Ayu meminta tolong untuk memohon maaf kepada rakan sekolah dan guru selain amanat supaya jasadnya yang masih ‘gentangyangan’ (terawang-awang) disempurnakan termasuk dimandi, dikafan dan dikebumikan dengan sempurna,” kata Qomarodin Bajuri, bapa remaja yang dipercayai dirogol, dibunuh, dicincang dan dibakar, Norrahayu, 16, pada 14 Jun lalu.
Serpihan tulang, cermin mata, sebelah selipar dan gumpalan rambut serta sepit rambut Norrahayu yang juga dikenali sebagai Ayu, ditemui di dua lokasi berbeza iaitu kawasan perkuburan Hindu dan ladang sawit Sungai Tiram di sini, petang Ahad lalu.
Qomarodin mendakwa Ayu menyampaikan amanatnya itu melalui mimpi selepas dia melakukan solat hajat kelmarin dan meminta petunjuk sambil reda dengan ujian menimpa dirinya sekeluarga.
“Saya reda dengan ujian Allah dan tidak berprasangka buruk dengan kejadian menimpa anak saya itu selain menerima hakikat kemungkinan Ayu dipanggil pulang oleh-Nya kerana saya tidak menjalankan tugas sebagai ayah dengan baik.
“Mungkin ‘mengambil’ Ayu lebih baik.
“Allah lebih menyanyangi dirinya saya dan keluarga reda dengan apa yang berlaku dan ini ujian kepada kami sekeluarga.
“Jadi saya dan keluarga terima ujian ini,” katanya.
Menceritakan detik kejadian itu, katanya, dia menyedari Ayu membuat 10 panggilan kepadanya pada malam kejadian, namun terkilan apabila gagal menghubungi Ayu semula. “Saya amat risau dan bertanyakan kepada rakan dan kenalan jika terlihat Ayu dan kami sekeluarga mencarinya, namun hampa.
“Teman lelaki yang menghantar Ayu ke rumah pada malam kejadian juga datang dan kami masing-masing membuat laporan polis,” katanya.
Dia bertanyakan kepada pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu, iaitu suspek utama yang kini direman polis tetapi lelaki botak dan tinggi itu berkata, tiada apa yang berlaku.
“Namun apabila melihat suspek berjalan tempang, saya curiga kerana dia tidak datang kerja selama dua hari selepas kejadian selain memberi alasan kakinya sakit kerana terjatuh motosikal.
“Saya merujuk perkara berkenaan kepada polis dan mereka pergi ke lokasi, namun apabila melihat polis, lelaki berkenaan melompat ke dalam semak melarikan diri sebelum muncul semula selepas polis beredar,” katanya
No comments:
Post a Comment