Gejala terlebih keinginan
JIKA saya tidak dapat perempuan (seks) dalam tempoh tiga hari, saya akan mendapat sakit kepala yang teruk,”. Memang selamba alasan yang diucapkan di atas tetapi menariknya ia dinyatakan secara peribadi oleh orang paling berkuasa di dunia, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy.
Kejadian ini berlaku apabila bekas Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan secara tidak sengaja melihat adegan asmara seorang pegawai White House dalam limousin selepas sidang kemuncak mengenai nuklear di Bermuda pada tahun 1961.
Kennedy ketika hayatnya terkenal sebagai pemimpin muda yang berkarisma dan berpandangan jauh tetapi pada masa yang sama dipalit dengan kontroversi skandal seks.
Misteri
Isu ini masih kekal misteri seperti mana kontroversi pembunuhannya sehingga kini namun ramai yang berpandangan Kennedy mempunyai masalah dalam ketagihan seks.
Dalam soal ketagihan seks pastinya ia bukan satu perkara baru kerana kita sedia maklum bahawa “pelacuran adalah antara pekerjaan paling tertua di dunia,”. Maka pastinya ketagihan ini juga antara masalah manusia sejak zaman berzaman.
Contoh paling tepat pada zaman silam bagaimana kegilaan terhadap seks ini boleh melampaui batas sehingga merosakkan negara adalah bekas pemerintah Rom, Caligula.
Beliau yang memerintah Rom pada tahun 12 hingga 41 Sebelum Masihi, dikenali sebagai pemimpin yang prihatin untuk dua tahun pertama sahaja. Namun bertukar karakter menjadi kejam, ganas dan gila seks sehingga menyusah dan memusnahkan kehidupan rakyat.
Satu lagi contoh klasik yang akan dikenang sepanjang zaman adalah bila mana tembelang pemain golf terkenal dunia, Tiger Woods terdedah kepada khalayak.
Di sebalik imej bersih yang ditonjolkan, Woods akhirnya mengakui ketagihan seks dan lebih 20 wanita dikaitkan dengannya. Walaupun beliau mendaftar masuk sebuah sebuah pusat rawatan ketagihan seks, akhirnya isterinya Elin Nordegren menuntut perceraian selain hilang hak penjagaan terhadap dua anaknya.
Status
Mungkin kerana tenggelam dengan kehidupan status bintang beberapa pelakon dan selebriti Hollywood juga berhadapan masalah ketagihan seks.
Antara yang menjadi tumpuan adalah Charlie Sheen, David Duchovny, dan Russell Brand yang mendakwa pernah melakukan hubungan seks dengan lebih 1,000 wanita. Masalah sama juga dihadapai oleh beberapa pelakon senior antaranya Michael Douglas dan Jack Nicholson.
Namun timbul persoalan apakah mereka ini benar-benar ketagihan seks ataupun hanya sekadar alasan popular untuk mengelak kehilangan kredibiliti.
Dalam soal ini tidak timbul bahawa pangkat, jawatan dan status diri akan membezakan sama ada seseorang itu mengalami masalah ketagihan seks. Begitu juga ia tidak berkait dalam soal umur serta jantina kerana sesiapa sahaja boleh terlibat dalam perlakuannya.
Secara fitrahnya seks adalah keperluan bagi manusia untuk mendapatkan zuriat namun kegagalan manusia itu mengawal diri mengakibatkan mereka tewas kepada nafsu.
Namun yang menjadi persoalannya kenapa manusia sanggup mengambil risiko yang sangat tinggi hanya untuk memenuhi keperluan nafsu seks mereka yang keterlaluan.
Risiko
Ini yang dialami oleh Kennedy yang mana manusia akan mengingati beliau sebagai pemimpin yang berkaliber namun pada masa yang sama mempunyai selera seks yang “besar”.
Namun timbul persoalan bagaimana untuk mendefinasikan ketagihan seks. Dalam soal ini pastinya ramai yang akan menuding jari terhadap lelaki atas alasan mereka lebih kerap memikirkan soal seks dalam sehari.
Malah ada mitos mengatakan lelaki memikirkan seks dalam tempoh setiap tujuh saat? Bagaimanapun tidak ada data sahih untuk membuktikan perkara ini.
Namun menurut satu laporan, Kinsey Report (Sexual Behavior in the Human Male), menyatakan 54 peratus lelaki di AS memikirkan tentang seks beberapa kali sehari, 43 peratus beberapa kali seminggu dan hanya empat peratus sesekali dalam sebulan.
Sekurang-kurangnya ia sedikit banyak menjelaskan kecenderungan seks lelaki secara umum. Namun segelintir dari 54 peratus lelaki itu dan tidak lupa golongan wanita cenderung mempunyai masalah ketagihan seks.
Ketagihan seks secara relatifnya boleh dianggap sebagai gangguan secara progresif akibat dari kelakuan dan pemikiran mengenai seks secara keterlaluan. Kita tahu bahawa seks adalah satu keperluan bagi manusia. Namun jika keterlaluan ia akhirnya akan memakan diri melalui apa yang kita faham sebagai ketagihan seks.
Punca
Berdasarkan kajian, manusia berkongsi bahagian yang sama di bahagian otak dalam soal makanan, penyalahgunaan dadah dan keinginan seksual.
Ia menghantar isyarat kepada mereka yang ketagih seks bahawa perbuatan itu adalah baik seperti mana ia menghantar isyarat bahawa makanan adalah baik ketika kita lapar.
Bahagian ini berkait rapat dengan survival otak manusia dan sistem ganjaran yang kemudian dihantar ke bahagian otak yang bertanggungjawab dalam membantu manusia membuat keputusan, pemikiran rasional serta tahap intelek manusia.
Bagaimanapun perlakuan seks yang berlangsung bagi mereka yang ketagih seks tidak melibatkan keintiman. Golongan ini umpama mendapat keseronokan di puncak dunia setiap kali aktiviti seks dilakukan mungkin sebagai alasan untuk lari dari realiti hidup dan gangguan masalah akibat kemurungan kerana masalah dalam hidup.
Bagi lelaki dan wanita yang mempunyai masalah ketagihan seks ini akan bertindak di luar kebiasaan seperti bersama dua atau lebih wanita / lelaki ketika berhubungan, suka mendera dan bertindak ganas seperti memukul ketika melakukan seks sehingga mengakibatkan kecederaan, melakukan hubungan seks tanpa mengira jantina, menjadikan kanak-kanak sebagai pemuas nafsu serta gagal mengawal nafsu yang sering menuntut perlakuan seks bila-bila masa dan di mana ia berkehendak.
Simptom
Menurut kajian seorang felo di British Association of Counselling and Psychotherapy, Phillip Hodson, berpendapat bahawa manusia mempunyai masalah ketagihan kerana sebab-sebab yang berkaitan dengan fitrah semulajadi manusia (seperti makan, seks dan sebagainya) adalah sesuatu yang membimbangkan.
Ini kerana kebiasaannya manusia tidak akan terperangkap dengan fitrah semulajadi mereka tetapi kerana memikirkannya secara keterlaluan menjadikan mereka obses sehingga bertindak di luar kebiasaan dalam perlakuan seks atau dipanggil hiperseksualiti.
Selalunya perlakuan ini dipengaruhi gangguan emosi, gangguan personaliti, ketidakstabilan mental dan dorongan nafsu yang keterlaluan selain penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Malah kebanyakan mereka ini turut dikaitkan dengan sindrom split personality kerana kebiasaannya mereka mempunyai kerjaya selesa namun apabila kehendak nafsu itu tiba ia agak sukar dikawal.
Dalam soal ini mungkin ada yang berpandangan apakah melakukan hubungan seks secara aktif dengan pasangan boleh dianggap sebagai ketagihan.
Wanita
Berdasarkan kajian yang dijalankan, bahasa badan mengenai diagnosis yang dilakukan menunjukkan hubungan seks secara aktif yang dilakukan ketika kita berada dalam keadaan stres, tertekan atau kebimbangan dianggap sebagai petanda utama seseorang itu berhadapan dengan masalah ketagihan seks.
Apabila ia berlanjutan mereka ini akan mula melanggan pelacur atau mencari kepuasan dengan melakukan seks lebih dari seorang pada satu-satu masa.
Namun dalam soal ini wanita juga turut berkongsi masalah yang sama walaupun kebanyakan mereka masih percaya bahawa cinta dan seks adalah seiring.
Di AS sahaja seramai 30 peratus mereka yang berkunjung ke pusat pemulihan seks adalah wanita dan menyedihkan selama ini kebanyakan mereka tidak tahu mereka mempunyai masalah ketagihan seks walaupun senantiasa curang malah dengan kekasih dan suami rakan baik sendiri.
Malah dalam kes-kes tertentu terdapat di kalangan wanita yang sanggup melakukan hubungan seks dengan lima atau lebih lelaki semata-mata untuk kepuasan.
Yang pasti masalah ketagihan seks hanya menjadi topik utama dalam 15 tahun kebelakangan ini. Dari hanya pusat pemulihan untuk ketagihan alkohol dan dadah, kini kebanyakan pusat sebegini sudah mula menjadikan masalah ketagihan seks sebagai antara perniagaan yang lumayan.
No comments:
Post a Comment